KAJANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu terlibat dalam ‘pertikaian’ berhubung titah jilid tambahan (adendum) melibatkan tahanan di rumah Datuk Seri Najib Tun Razak.
Memetik laporan FMT, Perdana Menteri berkata, ia kerana perkara itu merupakan bidang kuasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Pada masa sama, Anwar menjelaskan, titah jilid tambahan itu adalah kuasa sepenuhnya Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu.
“Saya tak mahu terlibat perbincangan soal titah adendum (jilid tambahan) sebagainya, ini bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan kuasa sepenuhnya Agong atau Raja-raja Melayu.
“Sepatutnya semua pihak terima kenyataan tersebut dan terus dengan tumpuan kita untuk jamin keamanan, kuatkan kestabilan politik dan membangunkan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, afidavit diikrarkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu adalah atas kapasiti sebagai Presiden UMNO.
Anwar memaklumkan, beliau juga mengambil maklum mengenai afidavit tersebut. Namun, pendirian kerajaan adalah tidak mencabar sebarang keputusan melibatkan institusi diraja di mahkamah.
“Beliau lakukan sebagai Presiden UMNO… pendirian kita semua urusan yang melibatkan Raja-raja tidak harus dicabar di mahkamah.
“Jadi, sebab itu saya tak mahu ulas, ini prinsip dan pendirian kerajaan bukan hanya sekarang, tapi selamanya sejak merdeka sampai sekarang ini pendirian kita sebagai kerajaan,” katanya.
Rabu lalu, Ahmad Zahid disahkan merupakan ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Titah tambahan itu supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Menurut afidavit diikrarkan Presiden UMNO pada 9 April lalu, Ahmad Zahid berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Tengku Zafrul ketika pertemuan di rumahnya di Country Heights pada 30 Januari lalu.
Ahmad Zahid memberitahu, Tengku Zafrul telah menunjukkan salinan titah tambahan itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Kandungan titah tambahan itu dikatakan secara jelas menyatakan pemohon (Najib) dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan kepada tahanan rumah, bukannya secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang.
Najib, 70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 April menerusi Tetuan Shafee & Co. – ND
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!