KUALA LUMPUR – Pengumuman projek kerajaan oleh pimpinan parti pemerintah sepatutnya dielakkan atas nama integriti yang berkaitan tatakelola dan elemen nilai murni, kata Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.
Beliau berkata, pada ketika Perdana Menteri sedang fokus untuk menaikkan martabat integriti negara, menteri mesti seiring melaksanakan etika murni itu walaupun ianya tidak melanggar mana-mana peraturan atau undang-undang sedia ada.
Katanya, Perdana Menteri dan kebanyakan anggota Kabinet sekarang adalah golongan yang sentiasa mengecam perbuatan ini dahulu dan mempunyai kesedaran tinggi mengenai perbuatan tidak bermoral itu.
“Pengumuman projek tertentu yang telah diluluskan lama sebelum pilihan raya kecil berlangsung sering berlaku di Malaysia dan amalan kerajaan terdahulu itu telah menyebabkan rakyat menolak parti tersebut. Ianya sepatutnya tidak lagi berulang.
“Semua pihak juga perlu mengambil iktibar dari keputusan mahkamah PRU15 yang telah memutuskan keputusan di Kuala Terengganu tidak sah dan perlu diadakan semula akibat sikap tidak bertanggungjawab pimpinan politik dalam kerajaan.
“Ianya membazirkan harta dan masa rakyat. Mahkamah itu telah menyabitkan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jais, komitmen jelas Perdana Menteri untuk menghentikan amalan itu sewajarnya diikuti semua pihak demi memastikan kelestarian pembanggunan negara.
Ujar beliau, integriti, tatakelola dan etika bukan setakat diucapkan sahaja, sebaiknya mesti disusuli dengan dengan tindakan dan amalan sebagai bukti nyata. – ND
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!