Pemuda mohon maaf terlepas kata-kata kesat terhadap bomba dalam kejadian kebakaran di Kg Bahagia

SANDAKAN – Seorang pemuda tampil memohon maaf kepada pasukan bomba berikutan tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat dalam satu video yang tular ketika insiden kebakaran besar di Kampung Bahagia, di sini, awal pagi Ahad lalu.

Rozaizar Rozainie, 39, berkata, tindakannya itu berlaku dalam keadaan penuh beremosi serta tertekan apabila melihat suasana kelam-kabut di lokasi kejadian, termasuk kanak-kanak panik ketika api marak merebak.

“Emosi saya ketika itu betul-betul terkilan sebab tengok budak-budak berlarian dan tidak tahu arah hendak dituju apabila api merebak sampai ke kawasan ini.

“Jadi, saya pun tidak perasan telah mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya ketika ditemui Bernama.

Insiden kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia, Ahad lalu, memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dengan membabitkan kawasan seluas lebih empat hektar.

Mengulas lanjut, Rozaizar berkata, beliau menarik semula kata-katanya itu selepas menyedari keadaan sebenar di lokasi, selain mengaku tidak melihat sepenuhnya usaha anggota bomba yang sedang menjalankan operasi pemadaman.

“Saya tidak nampak secara menyeluruh ketika itu… rupa-rupanya mereka (pasukan bomba) di belakang membantu memadamkan api,” katanya.

Terdahulu, video memaparkan lelaki itu mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota bomba, tular dalam media sosial susulan kebakaran besar itu yang menyebabkan ribuan penduduk terjejas dan kehilangan tempat tinggal.

Sebelum ini, pihak bomba memaklumkan operasi pemadaman berdepan cabaran termasuk laluan sempit, ketiadaan pili bomba serta keadaan angin kencang yang mempercepatkan penularan api.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, seramai 1,912 mangsa daripada 385 keluarga yang terjejas dalam tragedi kebakaran itu sudah ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan, mangsa ditempatkan di PPS Dewan Program Perumahan Rakyat Batu Sapi, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, Dewan SK Kampung Bahagia, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi, Dewan Sibuga dan SK Karamunting yang dibuka sejak Ahad lalu.

“Dua lagi PPS dibuka pada Isnin lalu, iaitu Dewan Serbaguna Warga Tua dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hwa. Trend mangsa yang ditempatkan di PPS pada pagi ini meningkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Sebelum ini media melaporkan, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan berdepan cemuhan dan kata-kata kesat ketika menjalankan operasi memadam kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan, awal pagi Ahad.

Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, orang ramai dilihat menjerit, menyuruh anggota bertugas beredar serta melabel mereka tidak berguna sebaik jentera bomba tiba di lokasi kejadian. Situasi tegang itu bagaimanapun berjaya dikawal selepas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) campur tangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jimmy Lagung dilaporkan berkata, insiden seperti itu bukan sesuatu yang luar biasa dan sering menjadi antara cabaran dalam tugas pasukan penyelamat.

“Keadaan seperti ini sudah biasa kami lalui. Kami faham mangsa berada dalam situasi tertekan, jadi kami maafkan dan anggap ia sebahagian daripada cabaran tugas,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, kebakaran besar dilaporkan memusnahkan sekitar 1,000 rumah di kampung berkenaan.

Operasi pemadaman turut berdepan kesukaran berikutan laluan masuk yang sempit, sekali gus menjejaskan kelancaran pergerakan jentera bomba ke lokasi kejadian.

Insiden tersebut sekali lagi membuka perhatian terhadap cabaran sebenar yang dihadapi anggota penyelamat, khususnya ketika berdepan tekanan emosi mangsa dalam situasi kecemasan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *