BANGI – Seorang bapa didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh anak kandungnya berusia enam bulan di sebuah unit pangsapuri Ahad lalu.
Tertuduh, Mohamad Aizat Samin, 25, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.
Bagaimanapun, pengakuan tidak direkodkan kerana kes bunuh itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Isteri tertuduh yang berada di galeri awam menangis sebaik pertuduhan terhadap suaminya dibacakan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Muhammad Aysar Wildan di sebuah unit pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang antara jam 8 malam 14 April hingga jam 7.40 pagi 15 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon satu tarikh untuk laporan kimia, toksikologi dan forensik tempat kejadian.
Tertuduh diwakili peguam, Arif Azmi.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Mei ini bagi sebutan semula kes.
Pada Rabu lalu, polis berkata, lelaki berkenaan membuat laporan pada jam 8.52 pagi memaklumkan bayi itu tidak sedarkan diri di pangsapuri terbabit.
Pemeriksaan awal mendapati, tiada luka pada badan bayi itu, namun hasil bedah siasat mengesahkan terdapat kecederaan bahagian kepala, yang bukan disebabkan oleh kemalangan.
Suspek ditahan di Jabatan Forensik Hospital Kajang, sebelum saringan air kencing yang dijalankan mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu. – (Dipetik laporan Sinar Harian)
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!