Anak hilang kaki dilanggar lari ketika cari rezeki, ibu rayu pelaku tampil bertanggungjawab

KUCHING – Luluh hati melihat anak lelaki tunggalnya diuji dengan kehilangan kaki kiri akibat kejadian langgar lari, seorang ibu merayu pemandu kenderaan terbabit dalam kejadian pada hujung Mac lalu itu tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Afidah Suhaili, 68, berkata keluarganya tidak berniat untuk berdendam, sebaliknya hanya berharap individu berkenaan bertanggungjawab atas kejadian menimpa Putra Aqmal Syukrie Sabli, 24.

“Ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah berdekatan tempat kejadian, pelaku kelihatan turun dari kereta, kemudian terus memandu dan pergi begitu sahaja. Nombor plat kereta tidak dapat dikenal pasti sebab tak jelas.

“Kami bukan mahu berdendam, cuma berharap dia tampil dan bertanggungjawab supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Bako.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai rakaman CCTV atau kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis.

Afidah berkata, sebagai ibu, kejadian itu memberikan kesan mendalam kepada keluarga apabila kehidupan usia muda anak bongsunya seolah-olah dirampas berikutan kemalangan pada 30 Mac itu.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam berkenaan, Putra Aqmal yang bekerja sebagai penghantar makanan sedang menghantar pesanan dari Jalan Song ke Stutong, dekat sini, sebelum sebuah kenderaan dipercayai jenis Toyota Avanza tiba-tiba membelok masuk ke simpang kanan jalan.

Menurut Putra Aqmal, dia cuba mengelak kenderaan terbabit, namun bahagian kaki kirinya bergesel dengan sisi kereta berkenaan sebelum terjatuh di atas jalan raya.

“Saya menjerit meminta tolong dan masih dalam keadaan sedar ketika itu. Saya menunggu kira-kira sejam sebelum ambulans tiba,” katanya dan menambah pada hari kejadian, dia baru sahaja kembali bekerja semula selepas bercuti Aidilfitri.

Sementara itu, Afidah berkata, meskipun anaknya tidak terputus kaki sewaktu insiden berlaku, beliau sekeluarga menunggu hampir 15 jam bagi Putra Aqmal menjalani pembedahan bermula pada 4.30 pagi hari berikutnya.

Ibu lima anak itu berkata, doktor pada mulanya cuba menyambung semula urat pada kaki anaknya, namun akhirnya memutuskan pemotongan terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan nyawa.

Dalam pada itu, Putra Aqmal yang juga alumni pelajar tahfiz Madrasah Darul Uloom Islamiyyah Kuching dan bekas imam sementara di Surau Mahmudi, Kampung Gita, berkata dia reda dengan ujian yang dihadapi.

“Allah belum ambil nyawa saya, cuma kaki sahaja,” katanya yang sebelum ini memperoleh kira-kira RM2,000 sebulan menerusi pekerjaan menghantar makanan, selain turut mengajar anak-anak kecil mengaji al-Quran.

Afidah yang juga suri rumah sepenuh masa berkata, anaknya masih menjalani rawatan susulan dan pemulihan di hospital, sebelum menerima bantuan pemasangan kaki palsu bernilai RM50,000 dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Kami dalam proses menghantar borang bantuan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat, ada juga sumbangan daripada wakil rakyat dan orang sekeliling,” katanya menambah perbelanjaan untuk ubat-ubatan serta keperluan tambahan anaknya dianggarkan RM1,000 sebulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

“Tiada laporan polis dibuat oleh pemandu kenderaan terbabit sehingga hari ini dan setakat ini, tiada saksi tampil membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *