Israel serang Iran

TEHRAN – Peluru berpandu dipercayai milik Israel mengenai sebuah tapak di Iran, menurut laporan ABC News memetik seorang pegawai tertinggi Amerika Syarikat (AS).

Agensi berita Iran FARS pula berkata, letupan kedengaran di lapangan terbang di bandar Isafahan di Iran, tetapi puncanya belum dapat dipastikan.

CNN turut melaporkan beberapa penerbangan yang melalui ruang udara Iran telah dilencongkan.

Pada Ahad, Iran melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu dalam serangan balas selepas serangan yang disyaki israel di kawasan kedutaannya di Syria.

Bagaimanapun kebanyakan dron dan peluru berpandu telah ditembak sebelum sampai ke wilayah israel.

Israel berkata, ia akan bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron Iran pada 13 April.

Di NEW YORK – Iran memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bahawa Israel mesti dipaksa untuk menghentikan sebarang operasi ketenteraan selanjutnya terhadap kepentingan mereka.

Amaran itu dinyatakan Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB pada Khamis.

Tegas Amirabdollahian, sekiranya berlaku sebarang penggunaan kekerasan oleh rejim Israel dan melanggar kedaulatan Iran, negara itu tidak akan teragak-agak untuk menegakkan hak sedia ada dan bertindak balas sewajarnya sehingga Israel menyesali tindakannya.

Kenyataannya dibuat selepas seorang komander Pengawal Revolusi Iran berkata, Iran boleh mengkaji semula “doktrin nuklear” berikutan ancaman Israel.

Sebelum ini, Israel berkata, akan bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron Iran pada 13 April lalu.

Tehran melakukan serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas pekarangan kedutaannya di Damsyik awal bulan ini.

Di DUBAI pula, penerbangan komersial mula melencongkan laluan mereka ke barat Iran susulan sebuah agensi berita Iran mendakwa terdapat ‘letupan’ kedengaran di bandar Isfahan.

Insiden itu berlaku ketika ketegangan kekal tinggi di Asia Barat selepas serangan peluru berpandu dan dron Iran terhadap Israel selepas rejim itu menyerang kedutaannya di Damsyik, Syria.

Syarikat penerbangan Emirates dan FlyDubai yang berpangkalan di Dubai mula melencong pesawat mereka kira-kira 4.30 pagi waktu tempatan.

Kedua-dua syarikat itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang penjelasan berhubung tindakan tersebut walaupun amaran tempatan kepada penerbang mencadangkan ruang udara mungkin telah ditutup.

Setakat ini sekurang-kurangnya lapan penerbangan telah dilencongkan dari ruang udara Iran, memetik laporan CNN.

Agensi berita FARS melaporkan bunyi letupan di Isfahan berhampiran lapangan terbang antarabangsanya.

Bagaimanapun ia tidak memberikan penjelasan untuk letupan itu.

Walau bagaimanapun, Isfahan adalah rumah kepada pangkalan udara utama untuk tentera Iran, serta tapak yang berkaitan dengan program nuklearnya.

Kerajaan Iran tidak memberikan sebarang komen segera.

Isfahan terletak kira-kira 350 kilometer (215 batu) di selatan ibu negara Iran, Tehran.

Di TEHRAN, Mehr TV melaporkan semua penerbangan menuju ke bandar Tehran, Isfahan dan Shiraz, lapangan terbang Barat, Barat Laut dan Barat Daya telah digantung.

Pengarah Perhubungan Awam Iran sebuah syarikat lapangan terbang mengesahkan dalam temubual dengan Mehr TV yang dikendalikan kerajaan.

Penggantungan itu berkuat kuasa serta-merta, tetapi penerbangan belum dibatalkan, kata pengarah itu. – ND

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *