BERITA UTAMA

PRK KKB: DAP letak calon Melayu?

PETALING JAYA – DAP berkemungkinan meletakkan calon Melayu pada PRK Kuala Kubu Baharu bulan depan, menurut sumber tepat dalam parti itu.

Sumber itu berkata, Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Saripah Bakar kini mendahului untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 11 Mei.

“Parti itu dijangka meletakkan calon Melayu setakat ini kerana peratusan pengundi Melayu yang tinggi,” kata sumber yang enggan dikenali itu kepada FMT.

Kuala Kubu Baharu adalah kerusi campuran, merangkumi 50 peratus pengundi Melayu, diikuti Cina (30 peratus) dan India (18 peratus).

Kerusi DUN itu telah diwakili seorang ADUN Cina sejak 2004, dengan penyandangnya untuk tiga penggal terakhir ialah Lee Kee Hiong daripada DAP, yang baru-baru ini meninggal dunia akibat kanser.

Apabila Lee merampas kerusi itu daripada MCA pada 2013, pengundi Cina membentuk 43 peratus berbanding 33 peratus pengundi Melayu. Bagaimanapun, pengundi Melayu telah mengatasi bilangan pengundi Cina sejak 2018.

Sumber itu berkata, Saripah lebih popular dalam kalangan akar umbi berbanding nama lain yang turut disebut. Bagaimanapun, sumber itu tidak menamakan calon lain yang berpotensi untuk kerusi itu.

Ketika dihubungi, Saripah berkata, “Kita tunggu keputusan dan pengumuman daripada parti”.

Satu lagi sumber daripada DAP berkata, kebimbangan parti sekarang ialah sama ada Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon bukan Melayu, dengan menamakan calon India akan menjadikannya “pertarungan yang sukar bagi kita”.

Beliau berkata, orang Melayu akan terus menyokong pembangkang tanpa mengira calonnya, manakala kaum India akan menjadi ‘kingmaker’ memandangkan semakin kurang pengundi Cina yang keluar mengundi dalam pilihan raya kecil.

Seorang ADUN DAP yang enggan namanya disiarkan baru-baru ini memberitahu FMT, parti itu perlu memperoleh sekurang-kurangnya 60 peratus undi kaum India jika mahu menang.

Beliau berkata, masyarakat India berkemungkinan besar memilih mana-mana calon, apabila pengundi Melayu berpecah dan pengundi Cina pula mungkin akan bersama DAP.

Pada Selasa, Bersatu Hulu Selangor mendakwa majoriti pengundi di Kuala Kubu Baharu mahu PN meletakkan calon Melayu pada PRK akan datang.

Sementara itu, semalam, Gerakan berkata, seorang ahli parti Melayu adalah antara lima yang telah disenarai pendek untuk kemungkinan mewakili PN.

Pada 1 April, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia memberitahu FMT bahawa sentimen komunal boleh menjejaskan kemenangan DAP dalam PRK Kuala Kubu Baharu jika meletakkan calon Melayu. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *