BERITA UTAMA

Kematian anak KPD Lahad Datu akibat tembakan di dada

KUALA LUMPUR – Bedah siasat yang dijalankan ke atas anak perempuan Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu semalam, mendapati punca kematiannya akibat satu das tembakan di bahagian dada.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais berkata, keputusan itu diperoleh selepas proses bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat remaja berusia 14 tahun itu di Hospital Lahad Datu, selesai hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati hanya satu das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan tembakan berkenaan terkena pada bahagian dada kanan mangsa.

“Terdapat luka tembak pada dada kanan yang mengenai organ paru-paru dan tembus di bahagian belakang badan.

“Hasil bedah siasat merumuskan kematian mangsa disebabkan luka tembakan pada bahagian dada itu,” katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Shahurinain memaklumkan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) selepas siasatan mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu.

Selain itu, beliau berkata, polis turut merampas sepucuk pistol semi automatik jenis Walther P99 yang dikaitkan dengan insiden berkenaan.

Shahurinain turut memaklumkan, tiga saksi sudah memberi keterangan untuk membantu siasatan polis, namun beliau enggan mendedahkan identiti mereka.

Terdahulu, anak perempuan kepada KPD Lahad Datu maut dipercayai tertembak diri sendiri secara tidak sengaja menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu.

Mangsa ditemui kakaknya yang berusia 16 tahun dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik dalam rumah mereka, pada jam 12.42 tengah hari semalam.

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *