BERITA UTAMA

Zafrul fail afidavit perbetul kesilapan fakta berhubung kenyataan Zahid

PUTRAJAYA – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan secara rasmi telah melihat Afidavit Tambahan No. 3 yang diikrarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 9 April lalu dalam prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Datuk Seri Najib Razak di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui prosiding semakan kehakiman No. WA-25-136-04/2024. 

Katanya, beliau telah mengambil langkah untuk mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai dan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavitnya bagi memperbetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit berkenaan.

“Pendirian saya bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung. Saya hanya ingin memastikan fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya.

“Ini akan membolehkan keputusan yang adil dan saksama dibuat demi kepentingan semua pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid selaku ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Kata Presiden UMNO itu, Titah Adendum berkenaan supaya Najib yang merupakan bekas perdana menteri menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Tengku Zafrul ketika pertemuan di rumahnya di Country Heights pada 30 Januari lalu.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara akan membawa perlara berkaitan Tengku Zafrul berhubung Afidavit Tambahan No. 3 kepada perhatian pihak mahkamah.

Jabatan Peguam Negara mengesahkan perkara itu melalui kenyataan hari ini.

Perkara itu akan dibawa Jabatan Peguam Negara kepada perhatian pihak mahkamah selepas merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan Tengku Zafrul hari ini.

“Merujuk kepada kenyataan media dikeluarkan Tengku Zafrul bertarikh 17 April 2024 mengenai Afidavit Tambahan No 3 yang diikrarkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 9 April 2024 dalam prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Datuk Seri Najib Razak di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Prosiding Semakan Kehakiman No WA-25- 136-04/2024.

“Jabatan Peguam Negara akan membawa perkara ini kepada perhatian pihak mahkamah,” katanya. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *