AMANAH gesa UMNO perjelas pendirian isu 14 ADUN Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa UMNO menyatakan pendirian sebenar berhubung tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Negeri Sembilan yang didakwa cuba menjejaskan kerajaan sedia ada.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan media UMNO semalam serta cadangan mengadakan perbincangan antara Biro Politik UMNO dan Pakatan Harapan (PH) bagi merungkai isu berbangkit.

Bagaimanapun, beliau berpandangan cadangan itu sepatutnya dilaksanakan lebih awal sebelum berlakunya tindakan yang disifatkan sebagai “tebuk atap” oleh 14 ADUN UMNO di negeri itu.

Menurutnya, tindakan memulakan kerjasama dengan lima ADUN Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baharu tidak boleh ditafsirkan selain sebagai satu pengkhianatan terhadap gabungan sedia ada.

Sehubungan itu, AMANAH menggesa UMNO mengecam tindakan berkenaan serta mengarahkan semua ADUN terlibat menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, selain memberi amaran keras bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Perbezaan pandangan boleh diterima, namun tindakan menarik sokongan sehingga menjatuhkan kerajaan bersama adalah satu bentuk pengkhianatan yang serius.

“Hilang sokongan kepada Menteri Besar bermakna hilang sokongan kepada Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Muhammad Faiz, hanya selepas tindakan pembetulan diambil, cadangan pertemuan antara kedua-dua pihak boleh dipertimbangkan secara serius.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, perbezaan pandangan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak bermakna AMANAH dan Pakatan Harapan tidak mempertahankan institusi Raja dan adat.

Sebaliknya, kata beliau, pendekatan rundingan secara terhormat adalah lebih wajar berbanding amalan politik menjatuhkan pihak lain demi kepentingan tertentu.

Beliau turut mengingatkan agar semua pihak menghormati titah Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir supaya Datuk Seri Aminuddin Harun terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Dalam masa sama, AMANAH menggesa UMNO untuk terus memperkukuh Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan serta memberi tumpuan kepada kestabilan ekonomi negara yang berdepan cabaran global.

“Semua pihak perlu fokus kepada penyelesaian masalah rakyat dan menjauhi politik oportunis yang hanya mementingkan kelompok tertentu,” katanya.

Bottom of Form

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *