KOTA BHARU – Suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1), Hafizul Harawi direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap suspek yang memakai baju dan seluar lokap berwarna ungu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu di sini.
Beliau yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Atikah Abdul Karim disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih berat) 1971.
Lelaki berusia 38 tahun itu tiba di mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi dengan diiring dan dikawal ketat oleh polis.
Semalam, Hafizul dilaporkan ditahan di Kota Bharu sekitar jam 3 petang, selepas kira-kira 36 jam melarikan diri.
Dalam kejadian awal pagi Ahad lalu, dia dikatakan telah melepaskan dua das tembakan dipercayai disasarkan kepada isterinya, Farah Cie yang juga seorang pengendali umrah.
Bagaimanapun, tembakan itu terkena seorang daripada dua pengawal peribadi Farah dan mengalami kecederaan parah.
Hafizul kemudian melarikan diri dari KLIA dan polis segera menjalankan usaha menjejak untuk menangkapnya.
Sementara itu, polis akan mengadakan sidang media pagi ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bagi memaklumkan perkembangan terperinci kes berkenaan. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!