Lelaki pukul isteri hingga gugur kandungan direman, ada sejarah jenayah, perkahwinan

SUNGAI PETANI – Lelaki yang disyaki terlibat dalam kes keganasan rumah tangga menyebabkan isterinya keguguran kandungan yang direman tujuh hari mempunyai latar belakang rekod jenayah serta sejarah perkahwinan yang kompleks.

Polis mendapatkan perintah reman terhadap suspek berusia 43 tahun itu oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, suspek diberkas di Alor Setar selepas dipercayai melarikan diri dan bersembunyi selama lima hari susulan kejadian di Ambangan Heights.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dipercayai menjadikan hubungan perkahwinan sebagai cara untuk menumpang kesenangan, khususnya dengan menyasarkan wanita bekerjaya termasuk dalam kalangan penjawat awam.

“Siasatan turut mendapati suspek pernah berkahwin sebanyak sembilan kali. Ketika ini, dia masih mempunyai tiga isteri yang sah serta 11 anak,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, termasuk kes berkaitan keganasan terhadap isteri dan teman wanita. Malah, suspek juga pernah dipenjarakan sebelum ini, namun dibebaskan sementara menunggu proses rayuan.

Dalam kejadian terbaharu, mangsa yang bekerja sebagai jururawat dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas dipukul menggunakan objek keras seperti besi dan penyangkut baju.

Mangsa dipercayai mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan pada tulang belakang, selain keguguran kandungan akibat serangan tersebut.

Dalam pada itu, polis turut merampas sebuah kenderaan mewah serta beberapa telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan lanjut.

Kes berkenaan kini masih dalam siasatan, termasuk meneliti kemungkinan wujud mangsa lain berdasarkan rekod lampau suspek.

Berita ini diolah semula oleh Siti Khadijah Manudin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp:https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *