TANAH MERAH – Tindakan berani seorang lelaki merempuh kenderaan polis dalam cubaan meloloskan diri berakhir dengan penahanannya selepas pihak berkuasa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaannya dalam kejadian di Jalan Masjid Tok Che Dol, petang semalam.
Insiden itu mencetuskan detik cemas apabila suspek bertindak agresif terhadap anggota polis ketika cuba diberkas sehingga memaksa tindakan tegas diambil bagi memastikan keselamatan semua pihak.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, kejadian sekitar jam 5.57 petang bermula apabila polis mengesan sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandunya bertindak melarikan diri.
Menurut beliau, pasukan polis kemudian mengejar kenderaan tersebut sehingga ke kawasan sawah sebelum suspek secara tiba-tiba memberhentikan kenderaan dan bertindak agresif.
“Suspek mengundurkan kenderaan dengan laju sehingga melanggar bahagian hadapan kenderaan polis. Walaupun diarahkan keluar, dia enggan memberi kerjasama dan terus cuba melanggar anggota beberapa kali,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, susulan ancaman tersebut, pegawai operasi mengarahkan seorang anggota melepaskan tembakan ke arah tayar belakang kenderaan di kedua-dua belah sebagai langkah mempertahankan diri.
“Suspek akhirnya berjaya ditahan tanpa sebarang kecederaan dan kenderaannya turut dirampas,” katanya.
Siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai 13 rekod jenayah lampau dan kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L