KUALA LUMPUR – Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Shahril Mokhtar tampil menafikan dakwaan bahawa beliau cuba mempengaruhi keputusan pengadil, sambil menegaskan telah menyerahkan bukti berkaitan kepada pihak berkuasa bola sepak untuk siasatan lanjut.
Penafian itu dibuat susulan dakwaan oleh Tunku Mahkota Ismail yang membangkitkan isu berkenaan dalam sesi perbincangan meja bulat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersama wakil pasukan Liga Super yang disiarkan secara langsung, semalam.
Menurut Shahril, mesej yang dihantar kepada Ketua Unit Pengadil, Kassim Kadir Bacha pada 23 Februari lalu tidak mengandungi sebarang unsur rasuah atau cubaan mempengaruhi keputusan pengadil.
Beliau menjelaskan, mesej tersebut dihantar selepas tamat perlawanan antara Selangor FC dan Kuching City FC bagi meluahkan rasa tidak puas hati berhubung ketiadaan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) terhadap keputusan penting pada minit akhir perlawanan.
“Antara dakwaan yang timbul ialah seolah-olah saya memberi tekanan dan cuba mempengaruhi pengadil melalui mesej tersebut, malah ada yang mempersoalkan sama ada ia boleh dianggap sebagai rasuah.
“Adakah itu rasuah? Jawapannya tidak. Tiada sebarang tawaran atau imbuhan dalam mesej berkenaan. Adakah saya cuba mempengaruhi pengadil? Juga tidak, kerana mesej itu dihantar selepas perlawanan berakhir,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam usaha memastikan ketelusan, Shahril yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) turut mendedahkan tangkap layar mesej berkenaan kepada umum.
Tambah beliau, susulan kontroversi itu, bukti sama telah dikemukakan kepada Presiden MFL, Ab Ghani Hassan serta Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman, selain memohon siasatan dijalankan sekiranya terdapat sebarang unsur salah laku.
Beliau turut menegaskan kenyataan tersebut dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenar serta mengelakkan Selangor FC dan FAS terpalit dengan isu berkenaan, memandangkan dakwaan itu ditujukan kepada beliau secara peribadi sebagai pegawai kelab.
Sementara itu, dalam sesi sama, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mempersoalkan tindakan menghantar mesej kepada Ketua Unit Pengadil, sambil membangkitkan sama ada ia boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk tekanan atau rasuah dalam konteks peraturan bola sepak.
Baginda turut memaparkan tangkap layar mesej berkenaan ketika sesi berlangsung bagi menyokong persoalan yang dibangkitkan.
Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L