PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim terkejut apabila namanya disenaraikan dalam individu yang mempunyai pengaruh politik (PEP).
Katanya, beliau mengetahui perkara itu ketika hendak berurusan menukar mata wang Ringgit Malaysia (RM) kepada Baht (mata wang Thailand) di sebuah pengurup wang semalam.
“Semalam, ketika saya nak tukar wang RM1,000 kepada Baht, seorang wanita muda (pekerja) di pengurup wang menyifatkan saya sebagai PEP. Dia kata saya perlu menunggu empat hingga lima minit untuk kelulusan. Ia adalah peraturan Bank Negara,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
PEP merujuk kepada ahli politik, individu yang sedang atau yang telah diamanahkan dengan fungsi awam utama sesebuah negara dan individu yang sedang atau diamanahkan dengan fungsi utama organisasi antarabangsa.
Menurut Kementerian Kewangan, mana-mana institusi perbankan perlu melakukan Usaha Wajar Pelanggan yang Dipertingkatkan (ECDD) bagi pelanggan berisiko tinggi termasuk PEP.
Kata Zaid, dua tahun lalu, sebuah bank tempatan memaklumkan permohonannya untuk membuka akaun perlu mendapat pelepasan kerana beliau seorang PEP dan akan mengambil masa lama untuk mendapatkan kelulusan.
Begitu juga, katanya, bulan lalu, anaknya yang mempunyai firma guaman telah dipanggil bank yang sama untuk mendapatkan penjelasan mengenai hubungan mereka.
“Anak saya beritahu, Zaid Ibrahim adalah bapanya, dan walaupun bapanya seorang PEP, mengapa ia perlu menjejaskan anak saya?,” soalnya.
Justeru, beliau merayu Gabenor Bank Negara Malaysia untuk memadamkan namanya sebagai PEP kerana ia sebagai tidak masuk akal dan menyebabkan kesukaran baginya serta keluarga berurusan.
“Anda boleh menyemak dengan CITOS dan melihat keadaan kewangan saya. Anda mempunyai akses kepada semua akaun bank saya dan ahli keluarga saya. Saya tidak pernah memegang sebarang jawatan tertinggi, di mana saya boleh mengumpul kekayaan yang sangat besar.
“Saya telah tinggalkan perkhidmatan kerajaan 15 tahun yang lalu selepas dilantik sebagai menteri dalam tempoh yang sangat singkat dan tidak pernah memegang sebarang jawatan sejak itu.
“Saya hidup seperti kebanyakan orang yang telah bersara, dengan beberapa simpanan dan tiada yang lain. Tidak perlu memburukkan hidup saya dengan meletakkan saya sebagai PEP,” katanya.
Katanya, beliau juga tidak mempunyai cita-cita politik mahupun jawatan dalam parti politik, sebaliknya mahu menumpukan kepada penulisan sebagai terapi hidupnya selepas bersara. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!