PUTRAJAYA – Malaysia menyifatkan pelancaran dron oleh Iran sebagai tindakan yang sah berikutan serangan biadab rejim zionis Israel terhadap Kedutaan Iran di Damsyik.
Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berpuas hati dengan jaminan kerajaan Iran tidak akan mengambil apa-apa lagi tindakan, kecuali diserang oleh rejim zionis Israel.
Katanya, bersama negara bertamadun yang lain, Malaysia menggesa rejim zionis Israel tidak mengambil apa-apa tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Timur Tengah.
“Terdapat tanda jelas masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat keadaan lebih buruk lagi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Mesyuarat itu membincang lebih lanjut situasi tegang di Timur Tengah, mengambilkira perbincangan yang telah diadakan semalam.
Mesyuarat yang diadakan dua hari berturut-turut itu menunjukkan perhatian serius kerajaan Madani terhadap isu berkenaan dan juga usaha yang diambil bagi memastikan Malaysia serta rakyatnya tidak terjejas oleh perkembangan itu.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, setakat ini, perkembangan itu memberikan kesan yang kecil kepada negara.
Ujar beliau, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dibuka dengan kejatuhan yang amat kecil, mencerminkan trend serantau.
“Walau apapun, kerajaan akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan akan mengambil langkah proaktif untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin. Kepentingan negara akan sentiasa menjadi matlamat utama.
“Kunci penyelesaian kepada isu ini ialah penyelesaian serta merta yang adil terhadap keadaan tidak berperikemanusiaan melanda Gaza.
“Oleh itu, perhatian masyarakat antarabangsa mesti ditumpukan kepada isu ini, tanpa gangguan lain dan gencatan senjata berkekalan mesti diwujudkan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan,” katanya.
Dalam hal ini, kata beliau, sumbangan Malaysia terbaharu sebanyak 100 kontena dijangka berlepas pada 27 April ini. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!