Suspek kes bunuh Nur Farah Kartini disambung reman esok

Baju Oren dan Gari: Antara Prosedur, Persepsi dan Maruah Individu

Oleh: Editorial ND

SECARA logiknya, apabila pihak berkuasa memanggil seseorang untuk memberikan keterangan, ia adalah sebahagian daripada proses siasatan bagi mendapatkan maklumat, penjelasan dan kenyataan yang diperlukan.

Orang yang dipanggil pula tidak semestinya bersalah. Malah, ada kemungkinan keterangan individu berkenaan merupakan antara maklumat penting yang dapat membantu pihak berkuasa melengkapkan siasatan dan mendapatkan gambaran sebenar mengenai sesuatu kes.

Dalam keadaan tertentu, pihak berkuasa kemudiannya memohon perintah reman daripada mahkamah bagi membolehkan siasatan diteruskan dalam tempoh dibenarkan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Itu adalah proses undang-undang. Namun, satu persoalan wajar ditanya ialah: perlukah seseorang yang masih berstatus suspek atau orang kena siasat dipakaikan baju lokap berwarna oren dan digari ketika dibawa ke mahkamah untuk prosiding reman?

Soalan ini bukan bertujuan mempertikaikan kuasa atau prosedur pihak berkuasa, sebaliknya, menyentuh satu perkara yang lebih asas iaitu maruah dan persepsi terhadap seseorang yang belum dibuktikan bersalah.

Reman bukan bermaksud sudah bersalah. Masyarakat perlu memahami reman bukanlah hukuman. Perintah reman diberikan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dalam tempoh tertentu. Ia bukan keputusan seseorang itu telah melakukan kesalahan.

Dalam erti kata lain, seseorang yang direman belum melalui proses perbicaraan untuk menentukan sama ada dia bersalah atau sebaliknya.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Prinsip asasnya mudah. Seseorang tidak sepatutnya dianggap bersalah sebelum kesalahannya dibuktikan mengikut undang-undang.

Mahkamah yang akhirnya menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak selepas mengambil kira bukti dan hujah dikemukakan dalam prosiding.

Justeru, apabila seseorang yang belum didakwa atau belum dibicarakan dibawa ke mahkamah dengan baju oren dan tangan bergari, persoalannya bukan sekadar sama ada tindakan itu mengikut prosedur.

Persoalan yang lebih besar ialah apakah mesej yang sampai kepada masyarakat?

Imej kadangkala lebih kuat daripada penjelasan. Kita hidup dalam zaman media sosial. Satu gambar boleh tersebar kepada jutaan orang dalam tempoh beberapa minit.

Apabila gambar seseorang yang memakai baju lokap dan tangan bergari disiarkan, orang ramai mungkin tidak membaca keseluruhan latar belakang kes.

Mereka mungkin hanya melihat satu perkara, “Dia kena tangkap.” Kemudian muncul persepsi, “Dia mesti buat salah.” Di sinilah masalahnya.

Walaupun dari sudut undang-undang individu berkenaan belum dihukum, dari sudut persepsi awam, hukuman sosial mungkin sudah bermula.

Lebih membimbangkan apabila gambar tersebut kekal dalam ruang digital untuk tempoh yang panjang, walaupun akhirnya individu berkenaan tidak didakwa, dilepaskan atau didapati tidak bersalah.

Persoalannya, siapa yang akan memulihkan maruahnya selepas itu? Prosedur tidak seharusnya mengabaikan maruah. Sudah tentu pihak berkuasa mempunyai prosedur dan pertimbangan keselamatan tersendiri.

Gari, pakaian lokap dan kawalan terhadap tahanan mungkin mempunyai justifikasi tertentu bergantung kepada keadaan. Namun, prosedur juga sepatutnya berkembang seiring dengan perubahan masyarakat.

Jika seseorang hanya dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman, bukannya menjalani hukuman, maka wajarkah penampilannya dipersembahkan kepada khalayak seolah-olah dia seorang pesalah?

Ini bukan soal mahu memberi keistimewaan kepada suspek. Ini soal membezakan antara seorang yang sedang disiasat dengan seorang yang telah disabitkan kesalahan.

Perbezaan itu sangat penting dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip undang-undang. Kita sering bercakap mengenai innocent until proven guilty iaitu seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Tetapi dalam dunia sebenar, prinsip itu kadangkala kalah kepada persepsi. Belum didakwa, sudah dihukum oleh masyarakat. Belum dibicarakan, sudah dianggap bersalah. Belum ada keputusan mahkamah, tetapi reputasi seseorang mungkin sudah tercalar.

Lebih-lebih lagi apabila seseorang itu mempunyai keluarga, anak-anak, pekerjaan dan kehidupan sosial. Satu paparan gambar yang menunjukkan seseorang bergari mungkin kelihatan seperti perkara kecil kepada sesetengah pihak.

Tetapi kepada individu dan keluarganya, kesannya mungkin jauh lebih besar. Sebab itu, perbincangan mengenai baju oren dan gari bukan sekadar soal pakaian. Ia adalah perbincangan mengenai maruah manusia, keadilan dan bagaimana negara memperlakukan seseorang yang belum dibuktikan bersalah.

Dalam konteks ini, keputusan untuk tidak lagi mengenakan baju oren ketika membawa orang kena siasat ke mahkamah bagi prosiding reman boleh dilihat sebagai satu langkah yang wajar.

Ia tidak bermaksud pihak berkuasa menjadi lebih lembut terhadap jenayah. Ia juga tidak bermaksud seseorang yang disiasat mendapat layanan istimewa.

Sebaliknya, ia memberikan satu mesej yang jelas, iaitu siasatan ialah siasatan. Pertuduhan ialah pertuduhan. Perbicaraan ialah perbicaraan. Hukuman pula hanya selepas seseorang disabitkan.

Jangan campurkan kesemuanya. Kita mahu pihak berkuasa tegas dalam menjalankan tanggungjawab. Kita mahu rasuah disiasat. Kita mahu jenayah dibanteras. Kita mahu mereka yang bersalah dihukum.

Tetapi pada masa sama, kita juga mahu sebuah sistem yang menghormati maruah manusia dan tidak menghukum seseorang melalui persepsi sebelum mahkamah membuat keputusan.

Kerana pada akhirnya, keadilan bukan hanya mengenai memastikan orang yang bersalah dihukum. Keadilan juga mengenai memastikan orang yang belum terbukti bersalah tidak dihukum terlebih dahulu, walaupun hanya melalui pandangan dan persepsi masyarakat.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *