IPOH – Seorang penternak lembu cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki dalam kejadian di Taman Pengkalan Jaya, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika mangsa berusia 26 tahun berada di kandang lembu miliknya.
Menurut beliau, mangsa didatangi sekumpulan lima lelaki yang menaiki dua kereta sebelum berlaku tindakan mengejar dan menyerangnya.
“Mangsa yang cuba melarikan diri dengan terjun ke Sungai Kinta turut ditetak menggunakan parang oleh salah seorang suspek.
“Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan di muka, tangan, kaki dan belakang badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Alwi berkata, mangsa kemudian dibantu orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan dendam dan rasa tidak puas hati sekumpulan individu yang mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah terhadap mangsa.
Susulan kejadian itu, polis menahan 11 lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Kesemua mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah,” katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan, selain menyiasat kemungkinan penglibatan mereka dalam kumpulan jenayah terancang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan.
Mohd Alwi berkata, PDRM memandang serius kejadian berkenaan dan akan terus mempergiatkan operasi pencegahan serta penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan jenayah terancang serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
