Tentera Israel tembak mati dua rakyat Palestin di Tebing Barat

TUBAS – Tentera Israel menembak mati dua rakyat Palestin pada awal kelmarin di wilayah Tebing Barat yang ditakluki, lapor agensi berita Palestin Wafa.

Seorang lelaki terkorban selepas anggota tentera Israel melepaskan tembakan ke arah keretanya di bandar Tubas, lapor Wafa.

Seorang lagi rakyat Palestin ditembak mati semasa tentera Israel menyerbu kem pelarian Al-Fara berhampiran Tubas, menurut agensi itu.

Pihak tentera Israel, ketika dihubungi oleh AFP, mengesahkan anggotanya telah membunuh Mohammad Omar Draghmeh, yang menurutnya adalah “tokoh penting” dalam merancang serangan Hamas.

“Semasa serbuan, suspek telah menembak ke arah anggota pasukan keselamatan yang bertindak balas dengan tembakan yang membunuhnya,” kata pihak tentera Israel, sambil menambah bahawa anggotanya menemui senjata di dalam kereta suspek.

Anggota tentera di kawasan Tubas turut diserang dan membalas tembakan, kata pihak tentera Israel. Seorang suspek terkorban dan dua orang yang dikehendaki telah diberkas.

Kawasan di sekitar Tubas di utara wilayah Tebing Barat merupakan kubu kuat bagi kumpulan bersenjata Palestin dan kerap menjadi sasaran oleh tentera penceroboh Israel.

Tebing Barat, yang ditakluki sejak 1967, telah menyaksikan peningkatan keganasan sejak awal tahun lepas, terutama sejak perang Israel-Hamas meletus di Gaza pada 7 Oktober.

Sekurang-kurangnya 461 rakyat Palestin maut di tangan tentera atau peneroka haram Yahudi di sekitar Tebing Barat sejak 7 Oktober, menurut sumber rasmi Palestin.

Pertempuran di Semenanjung Gaza yang meletus sejak 7 Oktober telah mengorbankan sekurang-kurangnya 33,634 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah Gaza yang ditadbir oleh Hamas. — AFP

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *