KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat teguran kepada bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua atas kedaifannya mempersoalkan tulisan Jawi pada wang kertas ringgit Malaysia.
Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra, Mohamed Shahrin Ismail berkata, tindakan Pua itu amat menjengkelkan dan memperlihatkan kemiskininan fikirannya dalam mempelajari konsep kenegaraan yang didokong rakyat Malaysia selama ini.
“Putra tidak dapat menerima kenyataannya yang memperlihatkan seolah tulisan Jawi itu boleh mempengaruhi generasi muda bangsanya.
“Tulisan dimaksudkan itu ialah perkataan “Bank Negara Malaysia” dan “Ringgit Malaysia” yang memang tertulis di setiap kepingan wang kertas RM1, RM5, RM10, RM20, RM50 dan RM100.
“Sejak sebelum merdeka lagi mata wang Malaysia sinonim dengan tulisan Jawi dan diiktiraf dunia yang menjadi lambang kemegahan serta kebanggaan rakyat di Tanah Melayu yang sebelum ini dikenali Malaya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian berhubung tular satu rakaman video 1 minit 42 saat wawancara Pua dengan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming.
Menurut Mohamed Shahrin, pada 19 Julai 1941 keluaran “Board of Commissioner of Currency Malaya” bernilai One Dollar jelas tertera imej tulisan Jawi “satu ringgit” yang mana telah diperkenalkan pada tahun 1939 hingga 1953 oleh British yang telah menjajah Tanah Melayu dan Brunei menggantikan mata wang Dollar Selat.
Jelas kata beliau, dengan pengiktirafan tulisan Jawi oleh British pada mata wang negara keluaran mereka memberi mesej mengenai Ketuanan Melayu dan mata wang tersebut digunakan dalam urus niaga di Tanah Melayu khasnya untuk orang Melayu.
“Adakah dengan terteranya tulisan Jawi pada mata wang negara memberi kesesatan kepada anak bukan Melayu yang baharu setahun jagung berada di negara ini?
“Bangsa selain Melayu yang dibawa masuk British dan diberikan kerakyatan tidak pernah mempertikaikan isu agama Islam di Malaysia selepas kemerdekaan, malah mereka berusaha memahami bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu bahasa rasmi negara serta mengakui Islam adalah agama Persekutuan seperti termaktub dalam perlembagaan.
“Malah, banyak anak bukan Melayu belajar di sekolah kebangsaan dan mengambil mata pelajaran agama Islam serta lulus dengan cemerlang. Tiada kata mereka ini membangkang atau membelakangi apa yang didukung oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau mempersoalkan, mengapa sejak DAP banyak menguasai kerusi di Parlimen mempersoalkan banyak isu berbangkit mengenai Ketuanan Melayu dan Islam itu sendiri malah mengenai tulisan jawi yang berabad digunakan juga dipertikaikan.
“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Jangan hanya kefahaman DAP habis keseluruhan bangsa bukan bumiputera menjadi mangsa.
“Putra menggesa semua rakyat di negara ini lebih menghormati antara satu sama lain, jangan mencetuskan api perkauman.
“Malaysia berjaya di mata dunia kerana masyarakatnya berbilang kaum dapat hidup harmoni dan sejahtera serta mematuhi kedaulatan sistem beraja yang dipimpin oleh Yang di-Pertuan Agong,” ujar beliau. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!