BERITA UTAMA

Tiga cedera ditembak, lima ditahan dalam tragedi Aidilfitri di Philadelphia

PHILADELPHIA – Sekurang-kurangnya tiga orang cedera ditembak sementara lima lagi ditahan dalam sebuah insiden tembakan secara rambang di sebuah majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri, di sini, pada Rabu, kata polis.

Insiden tembakan itu berlaku sekitar pukul 2.30 petang di kawasan kejiranan Parkside dengan 1,000 tetamu dianggarkan menghadiri acara berkenaan.

Pesuruhjaya Polis, Kevin Bethel berkata, dalam kejadian itu dipercayai terdapat “golongan muda terlibat secara aktif dalam tembakan” pada sambutan meraikan kedatangan 1 Syawal itu.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dalam insiden itu, tegas Bethel

Katanya, insiden tembakan berlaku antara “dua puak” menyebabkan seorang dewasa terkena tembakan, manakala seorang suspek iaitu remaja lelaki berusia 15 tahun ditembak di kaki dan bahu oleh polis.

Suspek yang bersenjata itu berada dalam keadaan stabil dan dibawa ke hospital, kata Bethel.

Beliau turut memaklumkan, terdapat seorang lagi mangsa muncul di hospital dengan kesan tembakan di tangan.

Namun begitu, polis masih belum mengesahkan sama ada mangsa itu turut terlibat dalam pertempuran senjata.

Pihak berkuasa telah menemui lima senjata yang disyaki terlibat dalam tembakan itu.

Seorang kanak-kanak pejalan kaki dilanggar oleh kenderaan polis ketika melarikan diri dari tempat kejadian sehingga menyebabkan kakinya patah, ujar Bethel.

“Siasatan mendapati 99 peratus daripada pengunjung acara berkenaan merupakan orang baik yang hanya ingin menikmati acara keraian tersebut.

“Namun begitu, terdapat beberapa anak muda yang terlibat dalam tembakan yang benar-benar merosakkan perjalanan acara itu,” kata Bethel.

Rakaman helikopter dari taman reakreasi Clara Muhammad Square menunjukkan tempat kejadian berlaku di luar masjid.

Video itu menunjukkan trak makanan dan khemah yang dibawa masuk untuk sambutan itu.

Saksi menggambarkan suasana huru-hara semasa acara yang sepatutnya memperingati hari kebesaran umat Islam itu, dengan keluarga terpisah daripada orang tersayang ketika orang ramai melarikan diri dari tempat kejadian.

Abdallah Legh, seorang pekerja di Pasar Daging Girard berhampiran tempat kejadian, memberitahu, terdapat antara 20 hingga 30 kanak-kanak bergegas masuk ke kedainya mencari perlindungan sejurus selepas dia mendengar bunyi tembakan.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Polis Negeri Pennsylvania sedang membantu polis Philadelphia melakukan siasatan.

Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro dalam hantaran di platform media sosial X berkata: “Sambutan Aidilfitri harus sentiasa menjadi hari kemenangan bagi bagi kejiranan Islam – saya berduka bagi setiap komuniti Islam Philadelphia yang acara mereka dihancurkan oleh keganasan senjata api.” – Agensi

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *