BERITA UTAMA

Pemandu pelancong maut ditimpa bongkah batu

IPOH – Seorang lelaki yang juga pemandu pelancong maut setelah ditimpa bongkah batu di kawasan Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling, Taman Saikat, di sini pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, ketika kejadian, mangsa berusia 44 tahun itu sedang membawa pelancong dari Vietnam ke Ipoh.

“Pada Isnin, jam 11.30 pagi, polis telah menerima maklumat dari orang awam mengenai kejadian seorang lelaki warga tempatan meninggal dunia akibat ditimpa batu.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang merupakan pemandu pelancong telah membawa pelancong dari Vietnam ke Ipoh.

“Semasa berada di tempat kejadian, satu bongkah batu telah terjatuh dan terkena kepala mangsa.

“Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ujar Abang Zainal Abidin lagi, hasil pemeriksaan oleh Pakar Forensik Perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati, punca kematian disebabkan kecederaan kepala akibat ditimpa batu.

“Pemeriksaan lanjut ke atas badan mangsa tiada menjumpai sebarang unsur jenayah.

“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ipoh di talian 05-2542222 bagi membantu siasatan. – (Dipetik laporan Sinar Harian)

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *