BERITA UTAMA

Putra saran MyIPO – Majlis Agama Islam Malaysia daftar penggunaan kalimah Allah

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyarankan Majlis Agama Islam Malaysia (MAIM) mendaftar penggunaan kalimah Allah kepada Perbadanan Harta Intelek MyIPO bagi memberi kesedaran kepada syarikat pengeluar produk agar menjaga sensitiviti agama di negara ini.

Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra, Mohamed Shahrin Ismail berkata, MyIPO adalah badan berkanun yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan pembangunan sistem harta intelek serta bertindak sebagai agensi kerajaan yang berada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Katanya, apa yang berlaku mutakhir ini seperti penyalagunaan kalimah Allah pada produk menyebabkan umat Islam terguris hati dan tercabar kesabaran hanya berakhir dengan kata maaf oleh pihak terbabit.

“Peruntukan perundangan sedia ada pada MyIPO mengenai Akta Cap Dagangan 2019, Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987, Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996, Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000, Akta Petunjuk Geografi 2000 dan peraturan peraturan membolehkan penggunaan kalimah Allah didaftarkan selari dengan Perlembagaan dan tuntutan Enakmen Agama Islam mengenai kesalahan penggunaan kalimah itu sendiri.

“Rakyat tidak mahu lagi mendengar kata-kata maaf atau kekhilafan daripada pengusaha atau usahawan yang berakhir dengan kenyataan pemimpin politik atau pemimpin agama meredakan kegusaran yang melibatkan isu kesalahan penggunaan kalimah Allah.

“Dengan peruntukan sedia ada rakyat inginkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan betul,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Shahrin, rakyat juga tidak mahu ada kepentingan dalam unilateral kerajaan ataupun pihak tertentu untuk mempertahankan kesalahan dalam isu membabitkan logo, lakaran, perkataan kalimah Allah pada produk.

Ujarnya, perlu adanya ketegasan dan pelaksanaan perundangan supaya perkara itu tidak berulang lagi.

“Isu sebegini bukan hanya berkaitan dengan pentadbiran dan keselamatan, tetapi turut membabitkan akidah serta pentadbiran Islam di bawah bidang kuasa Raja-raja dan Agong sebagai ketua agama Islam.

“Tindakan provokatif dalam kalangan golongan tertentu perlu diambil tindakan tegas kerana menjadi prinsip kemanusiaan yang dipegang oleh Islam, orang bukan muslim tidak boleh menggunakan nama Allah untuk penyebaran dakyah yang menghina Islam.

“Ini seolah mempersendakan Allah dalam penyebaran kepada masyarakat Islam atau mempermainkan nama Allah dalam tulisan, lakaran, filem dan seumpamanya yang sering berlaku dalam masyarakat barat,” tegas beliau.

Kata beliau, semua pihak perlu menghormati sensitiviti pihak lain bagi menjamin kelangsungan kemakmuran, kesejahteraan dan keharmonian negara yang telah dibina sejak kemerdekaan.

Dengan adanya masyarakat majmuk berbilang kaum sewajarnya menjadi kekuatan bukan kelemahan yang berakhir dengan ketegangan atau konflik yang akan memberi kesan kepada masyarakat cerminan generasi akan datang. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *