NILAI – Filem pendek raya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2024 berjudul “Pesan Ibu” menampilkan aktres terkemuka Fauziah Ahmad Daud atau lebih popular dengan nama Ogy, yang menggalas watak mak dalam filem pendek tersebut.
Filem ini boleh ditonton di pautan https://shorturl.at/mwEHT YouTube dan lain-lain platform media sosial rasmi USIM dan berjaya menarik lebih 100,000 tontonan di saluran Youtube USIMTV setakat ini sejak disiarkan pada 1 April lalu.
Filem pendek arahan Prof. Madya Dr. Faizal Kasmani, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM ini mengisahkan mengenai Aiman, seorang pelajar sekolah agama yang bercita-cita untuk memasuki universiti dalam bidang kedoktoran.
Beliau pada masa yang sama perlu menggalas tugas menjaga ibunya, seorang penoreh getah dan adiknya, setelah kematian bapanya.
Muhammad Fikri Hairulazmy, Penuntut Fakulti Sains Teknologi USIM memegang watak utama sebagai Aiman.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, beliau teruja dengan pemilihan Fauziah Ahmad Daud sebagai pelakon utama Filem Pendek Raya USIM pada tahun ini.
“Pemilihan watak Kak Ogy sebagai mak adalah tepat kerana kredibiliti beliau sebagai pelakon legenda yang membawa apa jua watak dapat memberi kesan mendalam kepada penonton.
“Gandingan Muhammad Fikri Hairulazmy yang membawa watak Aiman juga membuktikan penuntut USIM mempunyai bakat terpendam yang boleh diketengahkan,” katanya.
Produksi filem pendek “Pesan Ibu” dihasilkan sepenuhnya oleh Pusat Komunikasi Strategik USIM bersama alumni USIM dan bantuan nasihat kepakaran daripada pengarah Prof. Dr. Mahadi J. Murat selaku Penasihat Produksi.
Dr. Sharifudin berkata, kejayaan produksi filem pendek yang digalas sepenuhnya oleh Pusat Komunikasi Strategik bersama kepakaran pensyarah dan penuntut program Komunikasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dan Fakulti Sains dan Teknologi membuktikan kecairan bakat yang dimanfaatkan sepenuhnya.
“Talent Fluidity yang dimaksudkan untuk semua warga USIM merangkumi pelbagai aspek ini boleh dilihat dalam penghasilan filem pendek ‘Pesan Ibu’.
“Saudara Fikri sendiri adalah seorang penuntut tahun tiga Fakulti Sains Teknologi dari program Keselamatan dan Jaminan Maklumat, namun mampu menjiwai watak Aiman dengan baik sekali,” katanya.
Filem pendek itu turut mendapat tajaan daripada Pusat Pengajian Al Baghdadi serta kerjasama daripada Has Production dan Canon. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!