BERITA UTAMA

Dua pelajar USIM jelajah jalan dakwah, pengalaman sebagai imam tarawih di Osaka

NIK Ahmad Nik Aziz, 25 tahun, bersama Wan Ahmad Mujahid Wan Fajrulhisham 23 tahun, dua pelajar Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui pengalaman yang mengujakan di Osaka, Jepun dengan menjalani latihan industri di Japan Dakwah Centre sebagai imam tarawih.

Selain memimpin solat tarawih, dia dan rakannya turut menjalankan pelbagai aktiviti dakwah salah satu cara untuk menyebarkan keindahan Islam kepada masyarakat setempat.

Setiap hujung minggu, mereka mengadakan street dakwah pada waktu tengah hari dan menyediakan juadah berbuka puasa bersama-sama masyarakat setempat. 

Nik Ahmad menceritakan, “Ramai yang berbuka puasa bersama kami, termasuk rakan non-Muslim. Ini merupakan satu cara dakwah untuk mengenalkan keindahan berpuasa serta keharmonian kekeluargaan dalam Islam.”

Sebagai imam, Nik Ahmad juga menjadi saksi shahadah saudara baharu. Selain itu, dia dan rakannya turut mengambil tanggungjawab untuk mengajar asas Islam kepada mereka, seperti cara wuduk dan solat.

Apabila ditanya mengenai perasaan dan harapannya sebagai imam tarawih di Osaka, Nik Ahmad berkongsi, “Saya rasa teruja dan berbesar hati untuk mencabar diri di negara luar. Harapan saya, semoga diberi kesihatan oleh Allah agar saya dapat berkhidmat untuk Islam selama di sini.”

Mengenai pesanan dari ibunya, Nik Ahmad mendedahkan, “Mak selalu pesan, timbalah ilmu sebanyak mungkin. Belajar daripada perkara yang baik dan yang kurang baik. Sentiasa mencari hikmah dalam kehidupan seharian. Jangan takut gagal untuk mencuba sesuatu yang baik, kerana takut itu sendiri bermakna kita sudah gagal.”

Nik Ahmad dan rakannya berada di Osaka selama 40 hari bermula 10 Mac 2024 hingga 20 April 2024 ini. Mereka menginap di rumah yang disediakan oleh Japan Dawah Centre, bagi memudahkan mereka untuk menjalankan aktiviti dakwah di sana.

Nik Ahmad berharap agar usaha mereka dapat menjadi titik permulaan bagi lebih ramai orang untuk mengenali dan menghargai keindahan Islam, tidak kira di mana mereka berada. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *