KOTA BHARU – Polis Kelantan merekodkan 11 kes rampasan mercun dan bunga api tanpa permit sah sejak awal Januari hingga semalam bernilai RM38,600.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kes yang direkodkan ialah di Pasir Mas, Tumpat, Jeli, Machang, Gua Musang dan Pasir Puteh.
“Semua yang ditahan dipercayai hanya peniaga kecil-kecilan dengan memperoleh bahan terbabit daripada pembekal tempatan dan menjualnya sebagai menambah pendapatan menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Program Singgah Sahur Ketua Polis Kelantan Bersama Anggota Bertugas di Lapangan di Bandar Tasek Raja, awal pagi tadi.
Dalam program itu, Muhamad Zaki turut mengambil kesempatan bersahur dengan anggota Unit Pencegahan Jenayah, Unit Kereta Peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kes terbaru direkodkan di Machang pada Sabtu lalu, melibatkan dua lelaki berumur 18 dan 51 tahun ditahan kerana berniaga mercun dan bunga api tanpa permit sah di Bazar Ramadan Dataran Kemahkotaan, Machang.
Beliau berkata, kedua-duanya ditahan semasa anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap gerai mereka dan menemukan mercun dan bunga api bernilai RM1,730. (Dipetik laporan BERNAMA)
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!