BERITA UTAMA

Di mana beras putih tempatan, kenapa tiada di pasaran? – Syed Abu Hussin Hafiz

BUKIT GANTANG – Pengerusi Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, mendedahkan pemantauan dibuat Skuad Penggerak Madani di 105 lokasi pasar raya seluruh Semenanjung Malaysia mendapati hanya beberapa tempat saja yang menjual beras putih tempatan (BPT).

Susulan itu, beliau berkata, isu ketiadaan BPT di pasaran ini terus menjadi persoalan rakyat yang sukar mendapatkannya terutama menjelang perayaan Aidilfitri ini.

“Pemantauan dibuat di 105 lokasi pasar raya seluruh Semenanjung Malaysia bagi tempoh 20 Februari hingga semalam, mendapati hanya beberapa tempat saja menjual BPT, jadi di mana sebenarnya lokasi pengedaran BPT ini.

“Jadi, kita minta Bahagian Kawal Selia Padi ini jangan susahkan rakyat kerana Ketua Pengarahnya, Datuk Azman Mahmood sebelum ini memberi jaminan 14 juta kampit BPT berharga RM26 untuk 10 kilogram (kg) akan berada di pasaran pada bila-bila masa, tetapi sebaliknya berlaku kerana ketiadaan BPT itu.

“Saya berharap senarai kilang yang bertanggungjawab mengeluarkan 14 juta kampit ini segera dimaklumkan sebelum Aidilfitri Rabu ini untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang media Jualan Murah Parlimen Bukit Gantang di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mesyuarat NACCOL yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Mac lalu memutuskan empat perkara untuk mengatasi isu beras.

Antara tindakan itu, kerajaan mengarahkan supaya semua stok semasa padi dan beras yang dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan diproses serta dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan serta-merta.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, pihaknya musykil kerana bekalan BPT dikatakan banyak tetapi hanya dijual pada program Jualan Rahmah atau di FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“Jika bekalan BBT banyak, rakyat mempersoalkan kenapa tidak dijual di pasaran biasa untuk memudahkan orang ramai membelinya.

“Kita memohon Azman membuat penjelasan berhubung perkara ini segera,” katanya. – (Dipetik laporan Berita Harian)

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *