BERITA UTAMA

Tidak salah raikan pandangan rakyat di Sabah – Musliati

SABAH – Ketua UMNO Sabah Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin menjawab menjawab kenyataan Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkaitan isu kadar kemiskinan di negeri itu.

“Ini adalah negeri kita, tidak salah untuk kita bersama meraikan pandangan rakyat di negeri ini. Mana yang baik kita jadikan panduan dan mana yang kurang baik kita perbaiki bersama kekurangan itu.

“Kerajaan Sabah perlu akui kelemahan pentadbiran bagi menurunkan isu miskin tegar di negeri ini. Ianya dapat dilihat melalui laporan survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022, negeri Sabah yang mencatat kadar kemiskinan tegar lebih tinggi dari kadar nasional di lapan daerah terlibat.

“Justeru, Azizah tidak seharusnya mempersoalkan tindakan pihak pembangkang untuk kekal mengkritik kerajaan kerana dapat dilihat usaha yang dijalankan oleh kerajaan Sabah masih lemah dan gagal untuk mencapai hasrat slogan Sabah Maju Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Musliati, antara usaha lain yang boleh dilihat antaranya berkenaan pembasmian kadar kemiskinan.

Ianya, kata beliau, perlu dilaksanakan secara inklusif dan berkala oleh kerajaan dengan mengkemaskini data terkini maklumat penduduk miskin melalui sistem e-kasih.

“Untuk melihat sejauh mana kadar kemiskinan di negeri ini, ianya juga akan memudahkan kerajaan merancang dan melaksanakan program bagi menaikkan sosioekonomi pada sesebuah kawasan.

“Namun, kini dapat dilihat, masih ramai yang tercicir dari sistem maklumat berkenaan. Selain agensi kerajaan yang ada, kerajaan juga perlu berkolabrasi bersama institut badan bukan kerajaan untuk diselaraskan data-data pungutan kajian.

“Berkenaan isu lapan daerah di Sabah yang berada di paras kemiskinan terendah di Malaysia perlu diambil perhatian oleh kerajaan Persekutuan dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan daerah yang berada di luar bandar ini, sosioekonomi penduduknya bergantung kepada sektor pertanian dan perikanan, namun ianya akan terbatas jika masalah kemudahan infra rakyat seperti jalan raya, elektrik dan air belum dapat diselesaikan.

Katanya, antara isu berkait juga adalah berkenaan dengan peningkatan pengangguran di negeri ini iaitu tahun lepas Sabah telah mencatatkan kadar pengangguran tertinggi di Malaysia iaitu 169,800 orang daripada 588,700 jumlah pengangguran dari seluruh negara.

“Walaupun isu ini sering dikaitkan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara pada tahun 2020 dan telah memberi kesan kepada kemelesetan ekonomi pada waktu itu, kerajaan Sabah perlu lebih cakna dan mempunyai pelan pembangunan lebih konkrit bagi mengatasi masalah miskin tegar dan pengangguran di negeri ini yang semakin meningkat.

“Ianya boleh diperkasakan dengan memfokuskan daerah luar bandar yang selama ini kurang mendapat perhatian daripada kerajaan dan sukar untuk mendapat akses maklumat dengan memperkasakan ekonomi rakyat luar bandar.

“Kerajaan boleh meluaskan kursus dengan memperkenalkan industri 4.0 melalui program kemahiran bagi kesesuaian dan keperluan sesebuah kawasan.

“Ianya dapat meningkatkan tenaga mahir dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan,” ujar beliau.

Kata Musliati lagi, pelaksanaan kadar gaji minimum di negeri itu juga perlu diambil perhatian dan dikaji semula mekanisme bersesuaian iaitu dapat dilihat ramai rakyat Sabah sanggup memilih bekerja di luar negeri atau negara yang menawarkan paras gaji minimum lebih tinggi. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *