BERITA UTAMA

Dera guna seterika, air panas! 2 budak turut dipukul sampai luka, lecur

KENINGAU – Tidak berperikemanusiaan! Seorang remaja dan seorang kanak-kanak disyaki menjadi mangsa dera menggunakan seterika, batang besi, sudu panas dan air panas.

Akibatnya kedua-dua mangsa berusia 13 tahun dan lima tahun itu mengalami luka dan kesan melecur pada badan.

Susulan kejadian di sebuah rumah sewa di Keningau, Sabah itu, satu pasangan suami isteri ditahan kerana didakwa melakukan penderaan terhadap mangsa

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pengadu lelaki pada Khamis yang mengesyaki mangsa telah didera.

“Menyedari keadaan mangsa seperti didera, dia kemudian membuat laporan polis sebelum kedua-dua suspek suami isteri berusia 27 dan 36 tahun ditahan di rumah sewa mereka di pekan Keningau, petang tadi (Khamis).

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah peniaga burger,” katanya ketika dihubungi, memetik laporan Berita Harian.

Siasatan lanjut mendapati terdapat beberapa siri kejadian penderaan dilakukan sejak 24 Mac lalu oleh pasangan suami isteri tersebut terhadadap kedua-dua mangsa.

Menurut Yampil, mangsa berusia 13 tahun dipercayai didera menggunakan seterika beberapa kali pada bahagian depan dan belakang badan kerana terdapat kesan melecur yang sudah hampir kering.

Jelasnya, kejadian itu dilakukan suspek kerana mendakwa mangsa menipu menghabiskan jualan burger.

“Selain itu, mangsa turut dipukul menggunakan kayu dan batang besi pada belakang badan manakala mangsa berusia lima tahun disiram menggunakan air panas di atas lantai.

“Mangsa juga dipaksa berdiri di atas air panas hingga kedua-dua kakinya melecur. Selain itu mangsa turut dipukul menggunakan besi di bahagian belakang badannya.

“Mangsa turut ditekap dengan seterika oleh suspek wanita pada bahagian kiri dan kanan tangan serta belakang badan hanya kerana lambat membuka lampin pakai buang ketika bangun tidur,” katanya.

Yampil berkata, mangsa berusia 13 tahun itu merupakan anak tiri kepada suspek wanita.

Kedua-dua mangsa tiada sebarang talian persaudaraan dan dipelihara oleh kedua-dua suspek.

“Manakala mangsa berusia lima tahun adalah anak angkat kedua-dua suspek,” katanya.

Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – (Dipetik laporan Berita Harian)

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *