BERITA UTAMA

Iran mungkin serang Israel dalam 48 jam – CIA

WASHINGTON – Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada Israel bahawa Iran mungkin menyerang rejim itu dalam tempoh 48 jam akan datang.

Ia disifatkan sebagai serangan membalas dendam susulan tindakan Israel membunuh dua komander tentera Iran dalam serangan terhadap sebuah konsulat Tehran di Damsyik, ibu negara Syria, yang mengorbankan 16 mangsa.

Menurut Badan Pemantau Syria yang berpangkalan di Britain, antara yang maut ialah tujuh Pengawal Revolusi Iran (IRG) termasuk dua daripadanya jeneral selain lima pejuang Syria dan seorang anggota Hizbullah.

Iran berikrar membalas dendam atas serangan itu dan kini beberapa media asing melaporkan bahawa CIA semakin bimbang ancaman terhadap Israel itu mungkin menjadi kenyataan.

Menurut portal Al Mayadeen, Iran merancang menyerang dengan satu gabungan serangan dron dan peluru berpandu ditembak dari pangkalannya di lokasi strategik dalam Israel.

Ketegangan semakin memuncak antara musuh tradisi itu selepas pegawai AS menimbulkan kebimbangan bahawa serangan Israel boleh membawa kepada perang yang lebih meluas di Asia Barat.

Bekas pegawai kanan CIA yang beroperasi di Timur Tengah, Ralph Goff berkata, serangan melulu Israel akan mengakibatkan kemarahan Iran dan sekutunya di Asia Barat, sekali gus memungkinkan serangan terhadap Israel.

Bercakap kepada New York Times, beliau menjelaskan bahawa Israel cuba menyerang IRG bagi ‘menghukum mereka kerana rancangan berterusan untuk membunuh atau menculik warga Israel di seluruh dunia’.

Bekas ketua Komando Pusat AS dan pesara Jeneral Empat Bintang, Kenneth F McKenzie turut memberi amaran bahawa serangan itu adalah memberi ‘tamparan’ kepada Iran dan tidak mungkin negara itu akan berdiam diri.

Pemimpin tertinggi Iran, Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menegaskan bahawa menambah tindakan kejam Israel akan menerima hukum yang lebih dahsyat lagi.

“Kami akan membuat mereka menyesal atas jenayah ini dan yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, tentera Israel turut mengumumkan sudah mengukuhkan pertahanannya pada Khamis selepas serangan maut ke atas konsulat Iran di Damsyik menimbulkan ancaman tindakan balas.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengancam akan menyerang balas terhadap sesiapa saja yang mahu mencederakan Israel.

Beliau bercakap demikian selepas tentera membekukan cuti untuk unit tempur, menyekat isyarat GPS di lokasi tertentu dan mengukuhkan kewaspadaan ketika perang terhadap Hamas di Gaza menghampiri bulan ketujuh.

“Selama bertahun-tahun, Iran bertindak terhadap kami secara langsung dan melalui proksinya, mendorong Israel bertindak terhadap Iran dan proksinya, baik sebagai pertahanan atau menyerang.

“Kami akan tahu bagaimana untuk mempertahankan diri, siapa sahaja yang mencederakan kami atau merancang untuk mencederakan kami, kami akan mencederakan mereka,” katanya.

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, mengesahkan penyekatan beberapa isyarat GPS, yang bertujuan untuk mempertahankan diri daripada senjata seperti peluru berpandu atau dron.

“Kami memperkukuh kewaspadaan unit tempur, jika perlu. Kami telah memperkukuh sistem pertahanan dan mempunyai pesawat yang disediakan untuk pertahanan serta bersedia untuk menyerang dalam pelbagai senario,” katanya. – (Dipetik laporan AGENSI)

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *