BERITA UTAMA

Membalas tulisan SS Mufti Perlis berkaitan isu video Menteri Pendidikan

Oleh: Amidi Abdul Manan

SAYA menjangka isu ini ditamatkan apabila SS Mufti WP mengeluarkan pandangannya yang dilihat sebagai ikhtiar untuk menyejukkan keadaan. Namun SS Mufti Perlis tidak menghargai usaha tersebut walaupun jelas ia berada pada ruang lingkup perkara khilafiah, yakni yang membenarkan perbezaan pandangan.

Dalam tulisan beliau jelas tiada sebarang usaha tabayyun yang diambil, malah mendedahkan lagi kekeliruan kefahamannya terhadap konteks pertuturan YBM Pendidikan.

Beliau menyatakan ini adalah usaha dakwah atas jalan al-amru na bil ma’aruf wan nahyu a’ni l-mungkar, walaupun konteks yang dipetik tidak tepat dan tersasar daripada yang sepatutnya.

Beliau memperluaskan skop perbincangan dengan mengaitkannya kepada fenomena Islamofobia apabila ada perkataan-perkataan yang diharamkan kerana akur dan tunduk kepada selera musuh Islam seperti kalimah ‘jihad’. Beliau juga menggelar YBM Pendidikan sebagai penaja kepada kempen tidak memanggil orang bukan Islam sebagai ‘kafir’.

Dari mana punca kefahaman bahawa YBM menaja kempen ‘anti kalimah kafir’ tidak pula saya ketahui. Kenyataan ini boleh dilihat sebagai usaha memburukkan lagi imej YBM.

Saya ingin mengangkat isu ini dalam konteks yang sebenar setelah saya bertemu bagi mendapatkan penjelasan daripada Menteri sendiri.

Latar belakang ‘pengharaman’ perkataan ‘kafir’ di rumah beliau seperti yang disebut dalam video tersebut adalah kesan kempen pilihan raya umum pada 2022 yang lalu.

Anaknya menyatakan bahawa ‘kerja mama sekarang tidak berkat kerana mama bekerja dengan orang kafir’. Maksudnya kerajaan MADANI yang dibentuk pada hari ini adalah kerajaan kafir.

Inilah yang cuba dibetulkan oleh seorang ibu. Sebab itu diulas pada kalam yang selanjutnya berkaitan kewarganegaraan, undi dan pilihan raya.

Pada pandangan saya, kekeliruan inilah yang sepatutnya menjadi topik perbincangan oleh seseorang yang berstatus mufti.

Apabila beliau termakan umpan yang dimainkan seorang ahli politik picisan yang berseberangan dengan YBM, ia menunjukkan kelemahan dalam kaedah membuat pertimbangan yang wajar.

Beliau juga mengkritik teman-teman yang membawa hujah al-Qaradhawi dalam hal ini sebagai mereka yang menyalahgunakan hujah atau berhujah di luar konteks.

Sebenarnya Dr. Asri yang hilang pedoman dalam mempertahankan pendiriannya. Hujah al-Qaradhawi jelas mengusulkan kalimah ‘ghayr muslim’ (non-Muslim) digunakan dengan tujuan mendekati dan melunakkan mereka dengan agama Islam.

Bukan seperti yang didakwa bahawa sesiapa yang tidak bersetuju dengan pandangannya (Dr. Asri) adalah mereka yang mahu mengharamkan semua karya al-Qaradhawi yang tertulis perkataan ‘kafir’ dan seumpamanya. Jelas sekali beliau (Dr. Asri) gagal memahami hujah yang dibawakan oleh teman-temannya.

Dalam perenggan 12 tulisannya, beliau mencadangkan penyelesaian, iaitu YBM memperbetulkan ucapan. Namun, saya juga ingin mencadangkan agar beliau mengambil langkah tabayyun terlebih dahulu, menyelidiki dengan teliti sesuai dengan sifat dan sikap seorang mufti.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan seorang teman saya yang menggelar Dr. Asri sebagai Mufti Belum Mumaiyiz (MBM). Namun setelah insiden ini saya rasa ada keperluan untuk saya mempertimbangkan semula rasional gelaran tersebut. – NasionalDaily

Penulis adalah Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *