Oleh Siti Khadijah Manudin
IPOH, — Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) ke-21 secara rasmi dilancarkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak bagi memastikan akses pendidikan kepada kanak-kanak tidak terjejas walaupun sedang menerima rawatan di hospital.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sekolah dalam hospital merupakan model khas bagi merapatkan jurang pendidikan dan memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan tanpa mengira cabaran yang dihadapi pelajar.
“Sekolah adalah model khas untuk menangani jurang dan memastikan akses kepada pendidikan tidak terganggu walau apa jua cabaran,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, lawatan ke bilik pembelajaran dan wad remaja di hospital tersebut memberi kesan mendalam apabila melihat kesungguhan serta semangat kanak-kanak untuk terus belajar.
“Saya benar-benar tersentuh melihat ketekunan dan semangat kanak-kanak ini dalam pembelajaran. Kegembiraan pada wajah mereka menjadi dorongan untuk kami terus berusaha,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sehingga kini program SDH di seluruh negara telah memberi manfaat kepada lebih 454,000 murid, sekali gus membolehkan mereka meneruskan pembelajaran walaupun sedang dirawat di hospital.
Dalam pada itu, beliau berkata, program SDH akan terus diperluaskan ke beberapa negeri lain termasuk Sarawak dan Kelantan sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan terhadap pendidikan kanak-kanak di Malaysia.
“Perluasan program SDH tidak akan terhenti di sini. Selepas ini, ia juga akan dikembangkan ke Sarawak dan Kelantan. Komitmen kami adalah untuk melakukan yang terbaik demi anak-anak Malaysia,” katanya.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L