BERITA UTAMA

Jenazah Jaafar Onn selamat disemadikan

MUAR – Jenazah pelakon veteran, Allahyarham Jaafar Onn, 73, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al Firdaus Tanjung Gading, di sini kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Allahyarham Jaafar Onn atau nama sebenarnya Jaafar Onn Awang sebelum ini disembahyangkan di kediaman keluarganya di Kampung Batu Tiga, Kampung Tanjung Gading dan sekali lagi di Masjid Jamek Al Firdaus Tanjung Gading sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Lebih 100 orang dalam kalangan sanak-saudara dan rakan hadir dalam suasana sedih dan hiba sejak petang di kediaman serta tanah perkuburan.

Anak angkatnya, Hanif Mohd Hashim, 30, mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

“Terima kasih kepada semua yang membantu menguruskan jenazah arwah dan yang mendoakan kebaikan untuk arwah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Jaafar Onn menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang (Hospital Serdang).

Berita duka itu dikongsikan anak saudara Allahyarham, Fahmi Aziz menerusi akaun Facebooknya.

Allahyarham pada Selasa dibawa ke hospital selepas mengalami pendarahan ketika membuang air besar dan ditempatkan di zon kritikal.

Bagaimanapun, keadaan Allahyarham kembali stabil dan ditempatkan di wad biasa untuk pemerhatian doktor.

Jaafar Onn yang mahir memasak mula menyertai dunia seni sejak 1970-an sebagai penari sebelum menjadi pengacara dan cef jemputan dalam beberapa program televisyen.

Selain aktif dalam bidang lakonan, arwah juga berkebolehan sebagai penyanyi. – Sinar Harian

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *