BERITA UTAMA

Kadar kelahiran, kesuburan menurun bukan fenomena tempatan – Dr. Noraini

KUALA LUMPUR – Kadar kelahiran dan kesuburan di negara ini menurun dari 4.9 pada tahun 1970 kepada 2.0 pada 2013 dan 1.6 pada tahun 2022, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Beliau berkata, penurunan itu bukan hanya fenomena tempatan, tetapi isu global yang membelenggu kebanyakan negara maju dan membangun.

Katanya, kadar itu juga merujuk kepada purata bilangan anak yang dilahirkan oleh seorang wanita dalam umur reproduktifnya dari 15 hingga 49 tahun.

“Fenomena ini disebabkan faktor perubahan sosiobudaya dan ekonomi yang menyebabkan ramai memilih untuk melambatkan perkahwinan, menangguhkan perancangan untuk mendapatkan zuriat dan mengehadkan jumlah anak.

“Pilihan sedemikian juga boleh menyumbang kepada peningkatan masalah ketidaksuburan disebabkan oleh faktor umur.

“Sebagai langkah untuk memperlahankan penurunan TFR di Malaysia, kementerian saya melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menawarkan perkhidmatan subfertiliti sejak tahun 1979,” katanya menjawab pertanyaan lisan di Dewan Negara bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-15, Tahun 2024.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Ahmad Azam Hamzah yang bertanyakan kadar kelahiran dan kesuburan di Malaysia menurun pada setiap tahun dan apakah faktor menyebabkan fenomena itu serta langkah diambil kerajaan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Menurut Dr. Noraini, rawatan subfertility ditawarkan di tiga klinik LPPKN pada kos berpatutan berbanding fasiliti swasta.

Kata beliau, ia bertujuan membantu pasangan menangani masalah ketidaksuburan khususnya mereka yang berada dalam golongan kurang berkemampuan.

LPPKN juga ujarnya, telah mewujudkan perkhidmatan Klinik Kesejahteraan Lelaki di tujuh klinik LPPKN mulai tahun 2023 untuk membantu meningkatkan kesihatan dan kesuburan golongan itu.

“Sebagai inisiatif khas jangka masa panjang, KPWKM melalui LPPKN telah mendapat kelulusan menubuhkan Pusat Subfertiliti Negara yang pertama di Malaysia dengan peruntukan RM171 juta.

“Pusat ini dijangka beroperasi di Shah Alam, Selangor pada tahun 2030 dan bakal menjadi pusat kesuburan serta pusat rujukan utama negara yang menyediakan pelbagai kemudahan perkhidmatan rawatan kesuburan yang canggih dan menyeluruh pada harga berpatutan.

“Pusat ini juga akan menjadi pusat latihan kepakaran dan penyelidikan kesuburan yang secara langsung akan meningkatkan daya keberkesanan perancangan kerajaan untuk terus memperlahankan penurunan TFR,” katanya.

Selain itu, kata Dr. Noraini lagi, dari langkah-langkah untuk mengatasi masalah ketidaksuburan, kerajaan Madani pada masa ini terus memberikan insentif kepada pasangan untuk mendapatkan rawatan kesuburan seperti pengecualian cukai bagi rawatan kesuburan yang bermula sejak pengumuman Bajet Tahun 2020 sehingga kini.

“Kita juga memberikan insentif pengeluaran wang caruman Akaun 2 KWSP bagi tujuan rawatan kesuburan berkuat kuasa 1 September 2020 dan kemudahan tuntutan dari majikan bagi perbelanjaan rawatan kesuburan untuk penjawat awam yang masih berkuat kuasa melalui Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil. 4 Tahun 2001 tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan,” katanya. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *