JAKARTA – Perantau di ibu kota Jakarta berpeluang ‘mudik’ atau balik kampung di wilayah Pulau Jawa sempena Aidilfitri tahun ini menaiki kapal perang secara percuma.
Tentera Laut Indonesia menyediakan sebuah kapal perang berkapasiti 500 orang khusus bagi membawa individu dan penunggang motosikal, kecuali motosikal eletrik, untuk pulang ke kampung halaman.
“Program ini bertujuan membantu pemerintah membendung risiko kemalangan jalan raya pada musim perayaan khususnya penunggang motosikal,” kata jurucakapnya, Laksamana Pertama Made Wira Hady.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, kapal akan belayar dari Jakarta pada 5 April 2024 dan berlabuh di Semarang 6 April dan tiba di Surabaya 7 April, sebelum kembali semula ke Jakarta pada 13 April.
Sementara itu, hampir 68,000 anggota tentera akan membantu sekitar 93,000 anggota polis mengawal 193.6 juta orang yang akan melakukan perjalanan cuti Aidilfitri, melonjak daripada 123 juta orang tahun lepas.
“Selain anggota dan kapal perang, kami menyediakan pesawat pengangkut udara jika diperlukan,” kata Panglima Tentera Nasional Indonesia, Jenderal Agus Subiyanto.
Kementerian Pengangkutan meramalkan puncak arus ‘mudik’ berlaku dari 5 hingga 8 April dan puncak arus balik ke bandar dari 13 hingga 16 April. – BERNAMA
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!