BERITA UTAMA

Enam Rang Undang-Undang diluluskan di Dewan Rakyat minggu ini

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam rang undang-undang diluluskan di peringkat jawatankuasa pada minggu keempat Mesyuarat Pertama Penggal ke-15 Dewan Rakyat.

Ia melibatkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2023) 2024 membabitkan pengeluaran sejumlah wang tidak melebihi RM23,479,669,350 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan 2023.

Selain itu, Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023; RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023; RUU Polis (Pindaan) 2024; RUU Lembaga Lebuh Raya Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2023 dan RUU Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (Pindaan) 2023.

Pada minggu keempat juga menyaksikan Rang Undang-Undang Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, bagi meminda Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2013 (Akta 743) yang dibentangkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Pada persidangan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengadakan penerangan berkenaan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Saifuddin berkata, LPF tidak akan meluluskan tayangan mana-mana filem yang memaparkan kandungan mempromosi gaya hidup LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok yang mempersoal identiti seksual diri), mengandungi unsur komunisme, Islamofobia dan bertentangan dengan akidah Islam serta ajaran sesat.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung sehingga 27 Mac ini, menyaksikan pembentangan serta perbahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

— BERNAMA

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *