KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Dewan Negara mencadangkan agar kerajaan menggantikan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (Akta DBP 1959) dengan akta baharu dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memperkasakan lagi peranan DBP.
Senator Datuk Seri Prof Emeritus Awang Sariyan berkata, cadangan itu susulan Akta DBP 1959 sedia ada tidak mempunyai wewenang penguatkuasaan, selain daripada menegur, menasihati dan membimbing.
“Kira-kira satu dekad hasrat itu disuarakan dan draf akta baharu telah pun disiapkan, maka amat penting rang undang-undang akta baharu itu dibentangkan di Parlimen.
“Demikian juga, amat penting pengutamaan bahasa Melayu dalam sektor lain, terutama pendidikan, tempat awam, kehakiman dan media.
“Penegasan mengenai Dasar Bahasa Kebangsaan tidak bererti penolakan mana-mana bahasa asing kerana setiap bahasa ada peranannya,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.
Awang berkata, kerajaan juga perlu membuka ruang untuk melaksanakan satu kajian penilaian yang tuntas mengenai keberkesanan pelaksanaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai sektor.
Senator Datuk Mustafa Musa yang turut senada menyeru DBP, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi menggandakan usaha agar fokus liputan bahan bacaan dan aktiviti menggunakan bahasa Melayu yang betul dan baku.
Malah katanya, usaha itu juga perlu dilipatgandakan dalam semua gerak kerja dan aktiviti termasuk urusan rasmi serta transaksi perniagaan utama.
“Saya juga menyeru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan bahasa dan menjadikan saluran media sebagai gelanggang propaganda perkauman yang boleh mencuit rasa dan perasaan rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!