BERITA UTAMA

JSJN Bukit Aman, IPK Selangor rampas dadah terbesar bernilai RM14.18 juta

KAJANG – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah yang disifatkan sebagai terbesar di daerah ini, kelmarin.

Kejayaan itu terhasil dengan tercekupnya dua lelaki berusia 33 dan 44 tahun yang menjadikan sebuah kondominium sebagai setor penyimpanan dadah sebelum diedarkan.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Komisioner Polis Datuk Khaw Kok Chin berkata, dadah yang dirampas itu ialah jenis Syabu anggaran berat 332.443 kilogram, serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) (6.07 kilogram), Erimin 5 (8.1 kilogram) pil Ekstasi (15.7 kilogram) dan kenderaan bernilai RM38,000.

Katanya, nilai keseluruhan dadah itu dianggarkan RM14.18 juta dan merupakan rampasan terbesar dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

“Kejayaan anggota JSJN Bukit Aman dan IPK Selangor dalam dua serbuan ini telah menahan dua lelaki warganegara yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di sekitar daerah Kajang, Selangor.

“Hasil dari operasi dijalankan, kita merampas dadah pelbagai jenis yang bernilai lebih RM14 juta,” katanya pada sidang media di IPD Kajang hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Komisioner Polis Datuk Hussein Omar Khan; Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJN Bukit Aman, DCP Datuk Zainuddin Ahmad; dan Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Perhubungan Antarabangsa) JSJN Bukit Aman, SAC Mohd Rozi Jidin.

Kata Kok Chin, sindiket itu dikatakan aktif sejak tahun 2023 dan menjalankan modus operandi dengan menjadikan kondominium sebagai setor penyimpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan terutama di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan perkhidmatan kurier.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama enam hari sehingga 25 Mac ini bagi membantu siasatan.

“Hasil saringan awal polis mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan semakan rekod jenayah, seorang suspek mempunyai empat rekod lampau atas kesalahan jenayah,” katanya. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *