BERITA UTAMA

Kes pegawai kanan polis didakwa bunuh pelajar dipindah ke Mahkamah Tinggi

IPOH – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan kes pegawai kanan polis didakwa membunuh seorang remaja berusia 17 tahun pada 15 Disember tahun lalu, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret S. Punitha mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz untuk memindahkan kes melibatkan tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, ke Mahkamah Tinggi di sini. 

Bagaimanapun, tarikh sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan.

Pada 18 Disember lalu, Mohd Nazri yang berpangkat Deputi Superintendan Polis (DSP) didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh, antara jam 12.05 tengah hari dan jam 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Kes itu disebut semula hari ini bagi proses melengkapkan dokumen. 

Terdahulu, Mohd Nazri yang memakai jaket hitam menutup kepala dan memakai pelitup muka tiba di mahkamah dengan kawalan anggota polis kira-kira jam 9 pagi.

Tertuduh diwakili peguam Cindy Wong dan turut hadir peguam pemerhati bagi keluarga mangsa, Datuk Zamri Idrus.

Pada akhir tahun lalu, tular menerusi media sosial seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya, dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh dipercayai dipandu seorang pegawai kanan polis. – BERNAMA

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *