BERITA UTAMA

Lelaki terjun Jambatan Bukit Kuang ditemui lemas

KEMAMAN – Kejadian seorang lelaki terjun Jambatan Bukit Kuang, dekat sini, malam tadi berakhir dengan penemuan mayatnya oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 2.25 petang ini.

Lelaki itu yang dilaporkan hilang selepas terjun dari jambatan berkenaan disahkan meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Komander Operasi, PKPgB Zailani Abdullah berkata, anggota SAR berusaha mencari lelaki itu bermula selepas menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 7.29 malam tadi.

Katanya, mayat mangsa yang berusia 44 tahun itu dijumpai dalam jarak 500 meter dari lokasi dia terjun.

“Pasukan SAR telah menjalankan operasi pencarian mangsa pada pagi ini dengan dibahagikan kepada tiga sektor.

“Setiap sektor melakukan pencarian dalam radius 500 meter menghala ke kuala sungai dan operasi pada hari kedua ini turut dibantu pasukan Unit Pengesan (K9),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menerima panggilan kecemasan pada jam 7.29 malam semalam apabila berlaku kejadian orang terjun Jambatan Bukit Kuang, Kemaman.

Sepasukan anggota Bomba dari BBP Chukai ke lokasi kejadian bagi melakukan pengesahan kes dan menjalankan operasi pencarian.

“Sejumlah 26 anggota termasuk lima pegawai kanan telah ditugaskan dalam operasi ini.

“Agensi lain yang turut terlibat adalah polis, APMM serta orang awam bersama sejumlah 10 bot digunakan. Jentera FRT dan kenderaan Unit EMRS turut bersedia di lokasi,” katanya. – NasionalDaily

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *