PENAMPANG – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan kepada sekolah rendah dan menengah di Sabah termasuk pendidikan khas bagi membantu sesi persekolahan yang bermula awal Mac lalu.
Sebanyak 63 sekolah melibatkan 54 Sekolah Kebangsaan (SK) dan sembilan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) telah menerima bantuan itu melalui program Bantuan Sekolah YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Bantuan sekolah itu melibatkan murid golongan asnaf dan keluarga B40 yang bertujuan membantu meningkatkan akademik mereka untuk sesi persekolahan tahun 2024.

Penyerahan bantuan kepada sekolah disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Dewan SK St. Paul Kolopis, Penampang.
Turut hadir, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Ewon Benedick dalam ucapannya berkata, bantuan itu sekurang-kurangnya dapat membantu sekolah dalam meningkatkan pencapaian akademik murid dan pelajar melalui sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang baharu.

“Saya amat berterima kasih kerana YBR berterusan membantu sekolah-sekolah di Sabah dan berharap lebih banyak organisasi lain akan turut sama berganding bahu dalam memberi bantuan tanpa mengira bentuk atau nilai wang ringgit bagi memartabatkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Philip turut menyampaikan ucapannya dengan menyatakan, pemberian bantuan itu dapat membantu murid dan pelajar khususnya di Sabah meneruskan pembelajaran mereka.
Katanya, bantuan yang disalurkan itu juga dapat memberi semangat dan motivasi kepada sekolah untuk sentiasa meningkatkan momentum dalam membantu murid dan pelajar.
Jelas beliau lagi, usaha itu merupakan inisiatif dalam membantu masyarakat terutama di bidang pendidikan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sosioekonomi rakyat Sabah.
Kata beliau, sepanjang 2023, seramai 10,726 murid dan pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan kira-kira RM1.75 juta melibatkan 31 lokasi. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!