BERITA UTAMA

Hina kalimah Allah, Pas minta kerajaan lebih tegas

KUALA LUMPUR – Pas menyeru kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertindak lebih tegas isu penghinaan kalimah Allah yang berlaku dalam penjualan stokin oleh kedai serbaneka KK Mart.

Ini kerana kalimah Allah adalah lafaz tertinggi bagi Islam dan penjualan produk seperti itu amat mengguris hati umat.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, tindakan penghinaan itu jelas mencetuskan kemarahan umat Islam, lebih lagi berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia.

“Kedua-dua pihak yang bertanggungjawab iaitu KK Mart Group serta pengilang Xin Jian Chang mesti diambil tindakan lebih tegas supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak berkenaan perkara menyentuh sensitiviti agama Islam di negara ini biarpun telah membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Kita tidak mahu ia menjadi “trend” berterusan di negara ini, apabila kesucian agama Islam dipermainkan lantas disusuli hanya dengan permohonan maaf, namun kemudian berlaku lagi kes yang lain seolah tiada tindakan tegas boleh diambil kepada pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Kata Khairil Nizam, Pas memberi amaran isu melibatkan penghinaan kalimah Allah adalah sangat sensitif dan menyeru semua pihak jangan mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

Pas juga katanya, menuntut KPDN serta JAKIM menggubal peruntukan undang-undang dalam Akta Perihal Dagangan 2011 dengan memperketatkan peruntukan berkaitan penjualan barangan melibatkan sensitiviti agama Islam di negara ini. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *