KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa kerajaan melakukan semakan menyeluruh dan segera terhadap aspek keselamatan, kebajikan serta perlindungan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang terlibat dalam perkhidmatan Flying Doctor Service (FDS).
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, gesaan itu susulan tragedi nahas helikopter di Sarawak yang mengorbankan juruterbang dan empat petugas kesihatan.
Katanya, MCW menghormati siasatan pihak berkuasa berhubung punca nahas berkenaan dan tidak mahu membuat sebarang kesimpulan sebelum siasatan selesai.
Namun, ujar beliau, tragedi itu wajar dijadikan titik tolak untuk kerajaan menilai semula keberkesanan sistem perlindungan sedia ada kepada petugas FDS, khususnya berdasarkan risiko mereka hadapi ketika menjalankan tugas.
Antara perkara perlu diberi perhatian ialah kadar Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara sebanyak RM30 bagi satu penerbangan pergi dan balik yang diperkenalkan sejak 1978.
“Selepas hampir lima dekad, kita perlu bertanya sama ada RM30 masih munasabah untuk petugas kesihatan menjalankan amanah dalam persekitaran penerbangan serta kawasan pedalaman yang mempunyai risiko tersendiri,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Jais, kerajaan juga perlu menyemak kadar insentif berkenaan serta elaun tugas berisiko lain yang telah lama tidak dikaji.
Pada masa sama, MCW menggesa supaya setiap petugas FDS diberikan perlindungan insurans atau kemalangan khusus, selain memastikan mekanisme pampasan mencukupi disediakan kepada keluarga sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurut beliau lagi, latihan keselamatan penerbangan dan tindak balas kecemasan juga wajar diwajibkan kepada semua petugas FDS bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan ketika menjalankan tugasan.
MCW turut mencadangkan supaya satu audit bebas dan menyeluruh terhadap tadbir urus FDS dilaksanakan, termasuk aspek prosedur operasi standard (SOP) keselamatan, pengurusan risiko, kelayakan serta penyelenggaraan pesawat, peralatan keselamatan dan pematuhan kontraktor.
“Jangan tunggu tragedi seterusnya untuk melakukan pembaharuan. Petugas kesihatan menjaga nyawa rakyat. Negara pula mempunyai tanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan mereka,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
