Kerajaan Johor nafi kes rasuah urusan lot perumahan libatkan pentadbiran negeri

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor menegaskan, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang individu yang disyaki terlibat dalam kes meminta dan menerima rasuah serta salah guna kuasa berkaitan permohonan lot tapak perumahan, tidak membabitkan mana-mana pihak dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md. Shukor berkata, siasatan itu tidak melibatkan mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) atau pegawai Kerajaan Negeri Johor.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai tindakan SPRM Johor itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkenaan untuk menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai merit kes yang sedang dalam siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM serta proses undang-undang untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Menurut Mohd Jafni, penjelasan itu penting bagi mengelakkan kekeliruan atau sebarang andaian yang boleh mengaitkan kes terbabit dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

Beliau turut meminta semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau mengaitkan mana-mana pemimpin dan pegawai kerajaan negeri dengan kes berkenaan selagi siasatan masih dijalankan.

Pada masa sama, Mohd Jafni menegaskan pendirian kerajaan negeri, sebarang bentuk penipuan, rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam urusan berkaitan perumahan rakyat tidak akan dikompromi.

Katanya, tindakan terhadap mana-mana individu cuba mengambil kesempatan untuk memperoleh keuntungan peribadi dengan mengeksploitasi keperluan rakyat terhadap rumah tidak boleh dibiarkan.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

“Namun, pendirian saya jelas. Saya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan, menipu rakyat atau menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan keuntungan peribadi dalam apa juga urusan berkaitan perumahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, isu integriti amat penting memandangkan kerajaan negeri sedang melaksanakan pelbagai usaha bagi memperluas akses rakyat Johor kepada kediaman mampu dimiliki.

Menurutnya, usaha menyediakan rumah mampu milik tidak seharusnya dicemari oleh pihak mengambil kesempatan terhadap kesukaran rakyat mendapatkan tempat tinggal.

Dalam perkembangan berkaitan agenda perumahan negeri, Johor menyasarkan sebanyak 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dapat disiapkan menjelang penghujung 2026.

Setakat ini, lebih 21,000 unit RMMJ telah siap dan diserahkan kepada rakyat Johor.

Mohd Jafni berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan agenda pemilikan rumah dilaksanakan secara tersusun, telus dan berintegriti.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya sentiasa menggunakan saluran rasmi kerajaan ketika berurusan berkaitan permohonan atau urusan perumahan.

Rakyat juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang bayaran kepada individu atau pihak yang meminta wang sebagai balasan untuk mendapatkan kelulusan atau memudahkan urusan permohonan.

Sekiranya terdapat pihak yang meminta bayaran atau menawarkan bantuan dengan mengenakan caj yang tidak sepatutnya, orang ramai diminta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Mohd Jafni menegaskan bahawa usaha memastikan rakyat memiliki rumah bukan sekadar soal menyediakan unit kediaman, tetapi turut membabitkan tanggungjawab menjaga amanah serta melindungi rakyat daripada sebarang bentuk penipuan dan eksploitasi.

“Dalam soal rumah rakyat, amanah mesti dijaga. Hak rakyat jangan sekali-kali diperdagangkan,” katanya.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *