Dari Editorial ND
ADA soalan yang nampak mudah, tetapi sebenarnya cukup mengganggu – mengapa seorang rakyat Malaysia memilih untuk berada ribuan kilometer dari tanah air dan memohon perlindungan di United Kingdom (UK)?
Muhammed Yusoff Rawther sudah memberikan jawapannya. Beliau mendakwa tidak berasa selamat untuk kembali ke Malaysia, dan pada tahap ini, satu perkara perlu dijelaskan terlebih dahulu, iaitu Yusoff belum mendapat suaka politik di UK.
Beliau hanya sekadar baharu memohon perlindungan dan permohonannya masih diproses. Tetapi, bukankah keputusan untuk memohon suaka itu sendiri sudah cukup untuk membuat kita berhenti sejenak dan bertanya: apa yang membuatkan seorang rakyat begitu takut untuk pulang?
Ini bukan cerita seorang pelancong yang memilih untuk tinggal lebih lama di London. Ini melibatkan seorang rakyat Malaysia yang berdepan episod perundangan berprofil tinggi, pernah ditahan dan didakwa, kemudian dibebaskan Mahkamah Tinggi selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Selepas dibebaskan, kisah itu juga tidak berakhir. Pendakwaan pula merayu. Sedangkan, Yusoff berada di UK, dan kini beliau memohon perlindungan.
Sudah tentu ada pihak yang akan melihat tindakan itu dengan curiga. Ada yang mungkin bertanya sama ada permohonan suaka itu digunakan untuk mengelakkan proses undang-undang di Malaysia.
Tetapi, kita juga boleh bertanya soalan yang lebih mendasar, iaitu bagaimana jika ketakutan Yusoff itu benar? Bagaimana jika seseorang individu yang mendakwa dirinya terancam memang mempunyai sebab untuk memilih keselamatan diri terlebih dahulu?
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bukankah prinsip asas keadilan menghendaki kebimbangan seperti itu disiasat, bukan terus dipersendakan? Di sinilah kita perlu berhati-hati.
Yusoff tidak boleh dianggap sebagai mangsa yang sudah disahkan oleh kerajaan UK, tetapi beliau juga tidak wajar dilabel sebagai pelarian palsu atau individu yang sengaja melarikan diri daripada undang-undang hanya kerana beliau memilih mendapatkan perlindungan di luar negara.
Dua-dua kesimpulan itu belum mempunyai asas yang mencukupi. Apa yang ada sekarang ialah seorang individu yang mengatakan dirinya tidak selamat, dan apabila seseorang membuat dakwaan sedemikian, persoalan yang sepatutnya dikemukakan bukan sekadar, “Mengapa dia lari?”
Tetapi, apa yang menyebabkan dia berasa perlu lari? Inilah soalan yang lebih tidak selesa. Lebih lagi apabila kes Yusoff sejak awal sudah dibayangi pelbagai persoalan yang menimbulkan perhatian awam.
Beliau pernah berdepan pertuduhan jenayah, tetapi akhirnya dibebaskan di Mahkamah Tinggi. Beliau kemudian tidak kembali untuk berdepan perkembangan rayuan pendakwaan kerana berada di UK, dan menurut peguamnya, proses permohonan suaka sedang berjalan.
Dalam keadaan seperti ini, mudah untuk membina satu naratif bahawa Yusoff sedang cuba mengelakkan sistem. Tetapi, naratif itu juga mempunyai satu kelemahan besar, iaitu keberadaan seseorang di luar negara tidak dengan sendirinya membuktikan dia bersalah.
Begitu juga, mendapatkan suaka tidak bermaksud seseorang telah mengaku bersalah atau melarikan diri daripada hukuman. Sistem suaka diwujudkan untuk menilai dakwaan seseorang berdepan risiko jika dipulangkan ke negara asal.
Maka biarlah proses itu berjalan. Jika dakwaan Yusoff tidak berasas, biarlah pihak berkuasa UK menolaknya berdasarkan penilaian dan bukti. Tetapi, jika sebaliknya terdapat alasan kukuh untuk mempercayai keselamatannya benar-benar terancam, maka perlindungan sewajarnya diberikan.
Yang tidak wajar ialah menghukum seseorang melalui persepsi sebelum proses itu selesai. Lebih penting lagi, jangan kita terjebak dengan pemikiran kerana Malaysia sebuah negara yang mempunyai sistem kehakiman, maka secara automatik setiap individu mesti berasa selamat.
Kewujudan mahkamah tidak bermaksud semua persoalan mengenai keselamatan, intimidasi atau penyalahgunaan kuasa selesai begitu sahaja. Begitu juga, dakwaan seseorang tidak boleh dianggap benar hanya kerana ia kedengaran dramatik.
Sebab itu penyelesaian terbaik ialah penyiasatan yang bebas, telus dan boleh dipercayai.
Jika Yusoff mendakwa wujud ancaman terhadap dirinya, siasat. Jika ada pihak yang didakwa mengancamnya, panggil dan soal. Jika ada bukti dakwaan itu tidak benar, bentangkan, dan jika terdapat salah laku, ambil tindakan.
Mudah.
Tetapi, mungkin itulah yang paling sukar apabila sesuatu kes sudah terjerumus ke dalam gelanggang politik dan persepsi awam. Dalam keadaan ini, Yusoff berhak mendapat satu perkara yang paling asas iaitu proses yang adil.
Bukan simpati membuta tuli, bukan juga hukuman melalui media sosial. Kalau benar beliau tidak mempunyai apa-apa alasan untuk takut, proses yang telus sepatutnya dapat menjawabnya.
Tetapi, kalau benar terdapat sebab kukuh sehingga beliau merasakan UK lebih selamat daripada tanah air sendiri, maka masalahnya bukan lagi sekadar mengenai Yusoff.
Ia menjadi soalan yang lebih besar mengenai keyakinan rakyat terhadap institusi negara, kerana seorang rakyat yang meninggalkan Malaysia untuk mencari perlindungan di luar negara bukan sekadar membawa beg pakaian.
Dia membawa bersama satu persoalan yang sangat berat: Mengapa dia tidak lagi percaya dia selamat untuk pulang?
Itulah persoalan yang sepatutnya dijawab. Bukan dengan mengejek. Bukan dengan melabel dan bukan dengan menganggap beliau bersalah sebelum apa-apa keputusan dibuat.
Yusoff mungkin benar. Yusoff mungkin juga silap. Tetapi, sehingga bukti dan proses yang sah menentukan sebaliknya, beliau berhak untuk didengar, dan jika Malaysia benar-benar yakin Yusoff tidak mempunyai sebab untuk takut, jawapannya tidak perlu berupa retorik.
Buktikan institusi negara cukup kuat untuk melindungi seorang rakyat yang mendakwa dirinya terancam, kerana dalam sebuah negara yang benar-benar yakin terhadap kedaulatan undang-undangnya, persoalan mengenai keselamatan seorang individu sepatutnya dijawab dengan bukti dan keadilan, bukan tekanan dan persepsi. – ND
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
