SHAH ALAM – Sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari daripada Perikatan Nasional (PN) kepada kerajaan Selangor mengukuhkan lagi pentadbiran kerajaan perpaduan di negeri itu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menyifatkan sokongan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor itu sebagai sesuatu yang di luar jangkaan, Amirudin berkata, tindakan Abdul Rashid pastinya menyuntik lebih motivasi kepada pendukung Pakatan Harapan (PH) khususnya ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di semua peringkat untuk terus berjuang mempertahan dan memperkukuh kerajaan sedia ada di Selangor.
“Itu pilihan beliau, saya rasa beliau sedar mengenai sebarang kesan di sebalik tindakan itu khususnya selepas pindaan Perlembagaan Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Komuniti Pendidik Selangor di sini semalam.
Pada 6 Mac lalu, Abdul Rashid mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Amirudin dan mendakwa keputusan itu dibuat setelah beliau meneliti titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Amirudin yang juga Naib Presiden PKR, tidak menolak kemungkinan berlaku pertambahan sokongan dalam kalangan ADUN pembangkang antaranya disebabkan oleh faktor pemilihan Bersatu yang bakal diadakan kelak.
Beliau turut mengulas cadangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim agar PH menjalin kerjasama dengan Bersatu sebelum pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi PH Selangor itu berkata, gabungan tersebut memiliki perancangan sendiri dalam persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
“… kami boleh menganalisis cadangan itu, namun semestinya kami memiliki perancangan sendiri,” katanya.
Terdahulu, Amirudin meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama kira-kira 1,500 warga pendidik di Selangor.
Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM840,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh Selangor yang diwakili Pengarah Pendidikan Negeri Dr Jafri Abu. – BERNAMA
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!