BERITA UTAMA

Naik taraf Lapangan Terbang Miri projek utama MOT tahun depan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju memberi keutamaan kepada projek menaik taraf Lapangan Terbang Miri supaya dapat terus dipertimbangkan untuk diluluskan dalam Belanjawan 2025. 

Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata, cadangan itu telah disenaraikan semula di bawah Pelan Pusingan Lima Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2025 sebagai salah satu projek kementerian yang perlu diberi keutamaan untuk dilaksanakan. 

“Bagaimanapun, kelulusan permohonan projek ini tertakluk kepada kedudukan kewangan dan kemampuan kerajaan pusat. 

“Bagi kementerian, sekiranya projek ini tidak dapat dipertimbangkan oleh kerajaan melalui Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12 2025, Kementerian Pengangkutan akan memohon supaya MAHB (Malaysia Airlines Holdings Berhad) mempertimbangkan untuk melaksanakannya secara usaha sama dengan pihak swasta,” katanya dipetik Utusan Borneo Online.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man di Parlimen.

Menurut Hasbi, cadangan projek naik taraf itu melibatkan pertambahan kapasiti terminal daripada dua juta setahun kepada tiga juta penumpang setahun. 

Secara khususnya, skop projek menaik taraf Lapangan Terbang Miri kelak akan meliputi pembesaran dan naik taraf bangunan di kawasan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), penambahan kaunter daftar masuk, pejabat baharu bagi jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat penerbangan, papan tanda dan penunjuk arah, kerja penambahbaikan di tingkat pertama balai pelepasan, penerapan elemen Revolusi Industri (IR) 4.0, penambahan Jambatan Menaiki Penumpang (PBB) dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) yang baharu. 

Berhubung isu penyelenggaraan infrastruktur am di lapangan terbang itu, Hasbi memberitahu, MAHB mempunyai kontraktor yang telah dilantik untuk melaksanakan kerja tersebut.  

Antara kerjanya meliputi penyelenggaraan lif dan eskalator setiap bulan serta penyelenggaraan PBB setiap suku tahun. 

Selain itu, terdapat juga pemeriksaan secara berkala iaitu setiap bulan oleh Bahagian Kejuruteraan MAHB untuk memastikan semua peralatan berada dalam keadaan baik dan diselenggara mengikut jadual.  

Hasbi memberitahu, dari segi peruntukan pula, pada tahun 2024, MAHB menyediakan peruntukan sebanyak RM3.42 juta bagi tujuan penyelenggaraan struktur am di Lapangan Terbang Miri. 

Katanya, pada masa ini, Malaysia mempunyai enam lapangan antarabangsa iaitu KLIA1 dan KLIA2, Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Langkawi dan Johor Baharu.

Lapangan-lapangan terbang domestik lain termasuk juga Lapangan Terbang Miri berperanan sebagai ‘feeder’ kepada lapangan terbang antarabangsa ini.  

“Walaupun Lapangan Terbang Miri tidak dikategorikan sebagai lapangan terbang antarabangsa ataupun hab-hab penerbangan serantau, ia masih boleh mengendalikan operasi penerbangan antarabangsa berjadual dan tidak berjadual seperti mana lapangan terbang domestik lain seperti di Kuantan dan di Ipoh,” jelasnya. 

Chiew berkata, keperluan untuk menaik taraf dan memodenkan Lapangan Terbang Miri adalah mendesak. 

Beliau menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai keadaan sesetengah infrastruktur yang usang dan kerap mengalami kerosakan seperti PBB, eskalator dan tandas. 

Menurut Chiew, Lapangan Terbang Miri telah mengendalikan 2.4 juta penumpang, melebihi kapasiti sedia ada sebanyak 20 peratus. 

“Lapangan Terbang Miri memainkan peranan penting dalam ekonomi Sarawak.

“Ia memiliki potensi untuk menjadi sebuah pusat hab satelit di antara Sarawak, Brunei Darussalam, dan Indonesia. 

“Dengan lokasinya yang strategik, lapangan terbang ini dapat menjadi titik persilangan utama bagi penerbangan di rantau ini.

“Kehadirannya sebagai hab satelit akan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan dengan meningkatkan aktiviti perdagangan, pelancongan dan perhubungan antarabangsa,” jelasnya.

 

Kongsi berita-berita menarik NasionalDaily di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *