JOHOR BAHRU – Polis negeri ini mengesahkan sedang menjalankan siasatan ke atas dua anggota polis trafik yang dipercayai melakukan pemerasan berikutan tular dua hantaran video di laman sosial Facebook “Sage” dan “Irene Teo” semalam.
Hantaran video itu turut diulas melalui artikel dimuatnaik laman sesawang Mothership pada 11 Mac lalu dengan tajuk “S’porean couple allegedly made to give S$142 to JB officers who led them to empty lorry lane at M’sia checkpoint towards Woodlands”.
Menurut Ketua Polis Johor, M Kumar, melalui hantaran yang tular itu, dipercayai “Irene Teo” telah diarahkan untuk membayar wang sejumlah S$142 kepada dua anggota polis dari Bahagian Trafik, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru tersebut bagi mengelakkan tindakan saman diambil atas kesalahan masuk ke laluan lori di kawasan check point 8A arah Johor Bahru ke Singapura pada 10 Mac sekitar jam 8.15 malam.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Beliau berkata, setakat ini polis belum menerima sebarang laporan daripada mangsa berhubung insiden itu.
“Permohonan rasmi telah dibuat di Pejabat Konsulat Singapura di Johor Bahru untuk mengesan pemilik Facebook “Sage” dan “Irene Teo” bagi membantu siasatan.
“Kita komited dalam usaha memerangi masalah integriti serta salah laku jenayah dalam kalangan pegawai polis demi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan.
“Mana-mana pegawai yang dipercayai melakukan jenayah akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi berlandaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182 323 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Suhana Abdullah Sadali di talian 019-8853 599 dan Inspektor Nizam Ramon 011-1608 6119. – NasionalDaily
Kongsi berita-berita menarik NasionalDaily di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com