Zaid ‘ajar’ Bersatu, Pas cara tarik sokongan bukan Melayu

SHAH ALAM – Parti politik Melayu cenderung untuk melakukan tugas yang mustahil dan kemudiannya mempersoalkan mengenai kegagalan mereka.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, ini dapat dilihat dengan beberapa tindakan pemimpin utama parti di negara ini.

Sinar Harian melaporkan, Zaid yang merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu berkata, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin misalnya, bercakap mengenai mendapatkan lebih banyak sokongan daripada orang bukan Melayu.

“Beritahu juga rakan anda, Gerakan untuk ‘terdengar’ seperti DAP, bercakap mengenai meritokrasi, kedaulatan undang-undang dan pembaharuan.

“Katakan semua perkara ini sehingga mencapai kuasa. Tidak mengapa jika tidak melakukannya selepas pilihan raya. Cuma, beritahu mereka pembaharuan (yang akan dibuat) akan datang semasa penggal kedua anda. Rakyat Malaysia mudah lupa,” katanya dalam satu hantaran di X pada Ahad.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengakui masih banyak usaha perlu dibuat untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu menuju pilihan raya umum akan datang.

Justeru katanya, perkara tersebut diberikan penekanan dan menjadi salah satu daripada 20 resolusi yang diluluskan dalam Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional PN pada Sabtu.

Tambah Zaid, Muhyiddin juga perlu memberitahu pemimpin Pas bahawa orang bukan Islam adalah rakan mereka.

Pas katanya, perlu peka dengan hal-hal duniawi kerana orang bukan Melayu mementingkan ekonomi, pendidikan dan perniagaan.

Jika Pas meneruskan misi memastikan umat Islam ke syurga, ia tidak akan dapat membangunkan ekonomi yang kukuh untuk orang Melayu.

“Ia juga tidak akan membantu Bersatu memenangi Kerajaan Persekutuan. Masih ada masa untuk pemimpin Melayu melakukan sesuatu yang berguna untuk rakyat negara ini,” jelasnya.

Ujar beliau, pemimpin Pas sepatutnya bekerjasama dengan Perdana Menteri untuk membangunkan negeri-negeri Melayu sementara pemimpin Bersatu harus merapatkan barisan dengan UMNO dan cuba bersatu semula.

“Muhyiddin patut melupakan hasrat untuk menjadi PM semula. Lagipun, tiada sebab untuk Bersatu terus melawan Umno.

“Anda semua ‘dibuat’ daripada bahan yang sama dan perbezaannya hanya taktikal semata-mata. Cari cara untuk berkongsi kuasa seperti yang selalu dilakukan,” jelasnya. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *