PEMERGIAN seorang sahabat karib sememangnya menyedihkan walau apa pun agama, bangsa, keturunan atau warna kulitnya; persahabatan bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa atau pun dibuat-buat. Sesungguhnya hatilah yang memilih dan menentukan siapa yang kita pilih untuk bersahabat.
Pada hari Selasa 27 Februari 2024 yang lalu, Pak Long telah kehilangan seorang sahabat lama yang akrab, Mr Palanisamy a/l Veloo atau dikenali sebagai Palani. Kami bersekolah di Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani, Kedah sejak tingkatan 1 (1963) sehinggalah ke tingkatan 6 (1969). Walaupun kami tidak pernah berada dalam kelas yang sama, tapi kami berdua adalah pelajar jurusan sains bermula dari tingkatan 4. Didorong oleh semangat ingin berjaya, kami sering belajar bersama dan saling bantu membantu dalam menghadapi peperiksaan OSC, Oversea School Certificate kerana kami mengambil subjek teras yang sama. Selain faktor-faktor seperti perwatakan, sikap dan kesungguhan untuk perbaiki keadaan keluarga kami yang miskin, jurusan yang kami pelajari secara tidak langsung mengeratkan lagi persahabatan kami.
Ada satu lagi faktor pendorong yang membuat kami berdua menjadi akrab. Mantan guru mendiang Palanisamy semasa dia di sekolah rendah Scarbrough Estate, Cikgu Kamis Hamad adalah jiran saya. Cikgu Kamis yang Pak Long kenali sebagai Abang Midon sangat menyayangi Palani sebab dia seorang pelajar yang rajin dan Palani pun sangat menghormati Cikgu Midon kerana dia selalu mengambil berat tentang pelajarannya. Oleh itu kami bertiga saling mengenali satu sama lain dan tinggal dalam kampung yang berjiran. Sepanjang ingatan Pak Long, mendiang Palanisamy adalah seorang yang berhemah dan lemah lembut dalam berbicara serta bersopan santun tingkah lakunya. Peribadinya yang lemah lembut dan perwatakan yang menyenangkan membuat Pak Long selesa dan suka bersahabat dengannya.
Pak Long selalu teringat pegangan mendiang bahwa seorang miskin sepertinya perlu berusaha bersungguh sungguh dalam pelajaran supaya tidak tercicir. Kami sama-sama yakin bahwa pelajaran adalah cara terbaik untuk menggapai cita-cita tersebut. Bila Pak Long renung semula liku-liku persahabatan kami, ternyata faktor latar belakang kehidupan kami yang sama-sama miskin telah berjaya memperkukuhkan lagi persahabatan kami. Disamping itu, semangat dan tekad kami berdua untuk membawa keluarga kami keluar dari kepompong kemiskinan sememangnya kental. Itulah pemikiran orang muda zaman dahulu yang yakin pelajaran adalah batu loncatan untuk mengubah nasib keluarga. Akhirnya syukur alhamdulillah, kami berjaya mengapai cita-cita kami.
Kami berdua pencen sebagai pesara kerajaan – mendiang pesara Jabatan Perikanan sementara Pak Long pula pesara Jabatan Pengairan dan Saliran. Mendiang terkenal sebagai pakar dalam bidang penternakan ikan air tawar dan udang pernah bertugas di pelbagai Jabatan Perikanan. Mendiang juga pernah menulis beberapa buah buku dalam bidang penternakan ikan tawar. Kami bertemu semula di Pulau Pinang pada tahun 2022 tempat mendiang menetap selepas lebih 50 tahun terpisah. Pertemuan singkat itu penuh bermakna tetapi tidak mencukupi untuk saling mendengar dan mengetahui apa yang telah berlaku sejak kami berpisah dalam tahun 1969. Apapun Pak Long bersyukur kerana Pak Long berhasil mencari dan menyambung semula persahabatan yang terputus lama. Kalau tidak, Pak Long akan sentiasa merinduinya dan tidak terubat rindu itu. Hanya orang yang melaluinya yang akan memahami perasaan dan maksud Pak Long. Sejak pertemuan itu Pak Long sentiasa ingin untuk bertemu semula dengan mendiang dan kini ianya, sebuah hasrat yang tidak kesampaian.
Sepanjang tempoh persahabatan kami selama lebih setengah abad, kami sering bertukar-tukar pandangan, berbincang dan saling bersetuju atau pun sebaliknya. Ini membuat Pak Long teringat satu peribahasa dalam bahasa Inggeris “birds of the same feather flock together” yang membawa maksud “sesungguhnya burung yang sama jenisnya akan hidup bersama”. Pak Long sentiasa temui semangat yang amat positif ini dalam persahabatan kami. Ketekunan dan kesungguhan mendiang untuk mencapai yang terbaik tanpa kenal penat lelah adalah dorongan dan pengajaran yang cukup besar kepada Pak Long. Pak Long ingin kekalkan semangat juang yang tidak kenal erti kalah ini selamanya dan ingin mewariskannya kepada generasi akan datang. Semoga anak-anak muda kita zaman ini dapat faham bagaimana ikhtiar mencapai kecemerlangan itu milik semua sekiranya mereka bersungguh-sungguh mahu mengubah nasibnya.
p.s. Di rumah anak India inilah Pak Long dengar lagu Paalam Pazhamum oleh T.M. Soundarajan dan ibunya tanpa gagal menyuguh Pak Long teh tarik susu lembu.
Saudara Palanisamy, saya kagum dengan kegigihan saudara.
Poren, Selamat jalan, sahabatku.-NasionalDaily